Terserempak 40 ekor gajah liar melintas jalan raya di Kuala Tahan - Utusan Malaysia

Terserempak 40 ekor gajah liar melintas jalan raya di Kuala Tahan

TANGKAP layar kawanan gajah liar sedang melintas jalan raya Kuala Tahan ke Jerantut berdekatan pusat nurseri Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Kampung Gol, Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - FOTO IHSAN AFZAL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pengusaha sebuah pusat inap di Kuala Tahan, Afzal Abdul Aziz, 45, berdepan detik cemas serta terkejut apabila terserempak hampir 40 ekor gajah liar melintas jalan raya Kuala Tahan ke Jerantut berdekatan pusat nurseri Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Kampung Gol, Kuala Tahan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Afzal bersama tiga orang anaknya menaiki kereta dalam perjalanan ke bandar Jerantut setelah 15 minit berlepas dari Kampung Kuala Tahan tiba-tiba terserempak dengan kawanan gajah liar berkenaan.

Beliau berkata, anaknya menjerit sambil memberitahu banyak gajah melintas jalan di hadapan.

“Saya pun terus membrek kereta dan dalam keadaan samar kabus waktu pagi kelihatan deretan gajah liar melintas jalan raya di sini.

“Jarak kereta saya dengan kawanan gajah liar ini cuma kira-kira 80 meter, namun haiwan liar ini tidak mempedulikan manusia dan terus melintas jalan. Kebetulan pada pagi hari ini, tidak ada kenderaan lain termasuk pelancong melalui jalan ini,” katanya di bandar Jerantut hari ini.

Menurut Afzal, hampir 15 minit dia berhenti di situ sambil melihat gelagat haiwan liar itu serta mengira jumlahnya yang terdiri daripada gajah dewasa jantan mempunyai gading agak panjang, diekori gajah betina dan anak masing-masing.

“Dalam keadaan berwaspada, saya cuba mengira hampir 40 ekor gajah liar termasuk bilangan anak yang banyak melintas dengan cepat di laluan ini,” katanya.

Beliau yang juga pengusaha pusat inap Durian Chalet & Greenland Guesthouse Kuala Tahan berkata, kawanan gajah liar ini kemungkinan datang dari arah hutan simpan tebal di seberang sungai dan berenang menyeberangi Sungai Tembeling untuk bergerak mencari makanan di Hutan Simpan Tekal berdekatan Tembeling Tengah.

“Laluan ini biasanya merupakan kawasan rayau kawanan gajah liar dan kadang-kadang haiwan liar ini menceroboh masuk ke kampung berdekatan dan nurseri MPOB untuk mencari makanan seperti kerap berlaku sebelum ini,” katanya.

Katanya, mujurlah haiwan liar ini cuma melintas jalan raya sahaja dan tidak mengganggunya malah kejadian itu merupakan pengalaman pertama kali dia terserempak dengan kawanan gajah liar dalam bilangan yang banyak berbanding sebelum ini cuma antara tiga hingga enam ekor sahaja ketika bertugas sebagai pemandu pelancong di Taman Negara.

Menurutnya, dia mempunyai petua orang-orang tua ketika berdepan gajah liar, iaitu memberhentikan kenderaan pada jarak selamat, memadamkan lampu jika terserempak waktu malam, jangan membunyikan hon dan elak keluar daripada kenderaan cuba menghalau atau membuat bising.

“Setelah saya pastikan kesemua gajah liar melintas, barulah saya menghidupkan enjin kereta dan meneruskan perjalanan ke bandar Jerantut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya