Tekanan kerja melampau punca golongan profesional terjebak

Tekanan kerja melampau punca golongan profesional terjebak dadah

DADAH sintetik yang berada di pasaran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tekanan kerja melampau merupakan antara faktor dan pendorong utama golongan berpendidikan tinggi dan profesional terjebak dalam pengambilan dadah sintetik.

Malah, ia juga digunakan sebagai jalan pintas untuk tujuan kerja terutama dari aspek membina keyakinan diri ketika membuat pembentangan dan memberikan konsentrasi dalam urusan kerja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Prof Madya Dr. Zaizul Abd Rahman berkata, penggunaan dadah sintetik juga kerap berlaku dalam kalangan golongan berkenaan dengan alasan mahu menyelesaikan tugasan berskala tinggi.

“Ia banyak digunakan sebagai jalan pintas untuk bekerja terutama yang memerlukan daya analisis yang tinggi dan tenaga yang padu bagi menyelesaikan tugasan yang berskala tinggi.

“Selain itu, syif kerja yang panjang sehingga 48 jam tanpa rehat juga menyebabkan ada segelintir doktor perubatan yang nekad mencuba dadah jenis syabu sebagai ‘booster’ (penggalak) bekerja untuk jangka waktu panjang bagi memberikannya tenaga dan menghilangkan penat.

“Ini kerana beban kerja yang amat rigid di hospital kerajaan kini. Begitu juga pada tahun 2021 sebanyak 346 pegawai dan anggota polis antara 804 penjawat awam ditahan kerana kesalahan berkaitan dadah yang disebabkan masalah tekanan kerja,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaporkan, seramai 584 penagih dadah sintetik dikesan dan antara kalangan mereka merupakan golongan profesional dengan latar pendidikan tinggi Ijazah Sarjana Muda sehingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Menurut kenyataan AADK lagi, trend penagihan dadah jenis sintetik atau AmphetamineType Stimulants (ATS) itu dilihat amat membimbangkan apabila jumlah golongan profesional berkenaan meningkat 29.8 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.

Selain itu, menurut Dr Zaizul, antara faktor lain menyebabkan golongan profesional beralih kepada dadah sintetik kerana harganya murah dan mudah didapati dalam bentuk pil, serbuk dan cecair.

“Hal ini kerana, pertamanya, susah mendapat bekalan dadah tradisional disebabkan pihak Polis Diraja Malaysia bertindak agresif menyekat penawaran, membendung penyeludupan dan merampas bekalan dadah dan faktor dadah sintetik lebih mudah diperolehi dan murah.

“Selain itu, saya tidak menolak meskipun terpelajar tetapi mereka ini kurang kesedaran dari aspek keagamaan kerana mengambil jalan pintas dan segera dalam menyelesaikan permasalahannya.

“Sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nisa ayat ke-29, secara tersiratnya Allah SWT menegah hamba-hambaNya untuk sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan,”katanya.

Perkara yang sama turut disokong oleh Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan & Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia dan Ketua Koordinator Pusat Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA), Prof. Madya Dr. Amin Al Haadi Shafie.

Jelas beliau, seharusnya golongan profesional dan terpelajar ini turut diterapkan dengan kempen kesedaran mengenai penyalahgunaan dadah terutama dari segi pengetahuan penyalahgunaan dadah, sikap dan kepercayaan terhadap penyalahgunaan dadah.

Selain itu, Amin tidak menolak bahawa gejala ini mungkin ada kaitan dengan latar belakang keluarga yang memang sudah terjebak selain pengaruh rakan sebaya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN