KUANTAN: Ketiadaan ibu bapa tidak mematahkan semangat dua beradik yang dilahirkan normal untuk menjaga lima adik-beradik mereka yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) kategori lembam.
Bapa adik beradik itu, Abdul Rani Mat, 63, meninggal dunia 18 Mac lalu kerana masalah kegagalan oksigen manakala ibu mereka, Zawiyah Mahmud, 58, meninggal dunia pada 24 April tahun lalu.
Kini tugas menjadi lima adik beradik OKU tersebut diambil alih sepenuhnya oleh Nurul Aina Fitrah, 28, dan kakaknya, Nur Azuraida, 40,.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Aina Fitrah berkata, dua abangnya, Mohamad Asrul Nizam, 38, dan Mohamad Iskandar, 31, tinggal bersama Nur Azuraida di Klang, Selangor, manakala kakak, Siti Nurul Ashikin, 35; Mohamad Ikmal Hakimi, 24; dan Mohamad Amir Azwan, 20, menetap bersamanya di rumah tinggalan ibu bapanya di Kampung Pelindung, Beserah di sini.
“Kakak saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Klang mula menjaga dua abang sejak ayah meninggal dan saya pula menjaga seorang kakak dan dua adik di rumah tinggalan arwah ayah.
“Hanya kami berdua sahaja yang normal, manakala lima lagi adik beradik mempunyai masalah lembam, tetapi mereka boleh mengurus diri mereka sendiri seperti mandi, pakai baju, makan serta minum, namun masih perlu dipantau.
“Ayah dan ibu memang sudah berpesan, jika apa-apa terjadi kepada mereka, kami dua beradik perlu menjaga kelima-lima adik beradik istimewa kami ini. Walau apa pun berlaku, ibu dan ayah sangat berharap agar kami tidak berpisah… sebelum ini, ada juga saudara yang minta untuk menjaga adik-adik saya,” katanya di sini semalam.
Kini, Mohamad Ikmal Hakimi dan Mohamad Amir Azwan belajar di Pusat Pendidikan Khas (PDK) Sri Nilam Cahaya, Balok di sini manakala tiga lagi adik-beradik lain sudah tamat pembelajaran.
Bercerita lanjut, Nurul Aina Fitrah yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, walaupun tanpa ayah dan ibu, penyediaan barangan termasuk untuk hari raya Aidilfitri tetap disediakan kerana tidak mahu adik dan abangnya sedih memandangkan sebelum ini segala kelengkapan disediakan oleh arwah ibu dan ayah tanpa gagal.
“Adik-beradik lelaki saya berperwatakan seperti kanak-kanak sekolah rendah manakala kakak (Siti Nurul Ashikin) pandai berdikari berbanding yang lain… mungkin juga disebabkan arwah ibu banyak melatihnya melakukan kerja rumah.
“Mereka tahu ibu dan ayah sudah tiada, tapi jika membuat persiapan raya, mereka tetap mahu meriah seperti biasa. Hendak ada baju cantik, hendak main bunga api dan hendak memasang lampu warna warni.
“Sebagai kakak, sudah tentu kami berdua akan memberikan yang terbaik. Walaupun pendapatan tidak seberapa, namun saya bersyukur kerana dikelilingi insan baik yang membantu menghulurkan sumbangan,” katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasaraya di sini.
Nurul Aina Fitrah yang sudah mendirikan rumah tangga dalam masa sama turut bersyukur kerana suami dan keluarga mertua memahami situasi dihadapinya.
“Saya bersyukur dapat ibu mertua yang baik. Jika saya hendak balik ke rumah mertua di Maran, ibu mertua turut meminta saya membawa bersama adik beradik saya. Malah disediakan tempat untuk mereka tidur dan melayan mereka dengan baik.
“Kakak saya juga sudah berkahwin dan abang ipar saya juga sangat memahami dan banyak membantu berkorban membantu kami adik-beradik bukan sahaja dari segi tenaga malah masa,” katanya. -UTUSAN