Syarikat Korea labur lebih RM4.5 bilion di Johor - Utusan Malaysia

Syarikat Korea labur lebih RM4.5 bilion di Johor

LEE TING HAN (dua dari kanan) bersama Onn Hafiz dan Seung Bae (dua dari kiri) pada Majlis Forum Perniagaan Johor-Korea di Hotel Double Tree By Hilton, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Syarikat dari Korea Selatan membuat pelaburan lebih RM4.5 bilion di negeri ini menerusi 80 projek sejak 10 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, sebanyak 1,700 peluang pekerjaan juga telah diwujudkan kepada rakyat tempatan, termasuk pekerjaan berimpak tinggi.

“Oleh itu, kita yakin pelbagai usaha dilakukan termasuk forum perniagaan ini akan dapat tarik lebih banyak pelaburan baharu untuk datang ke Johor, tahun ini ada tiga atau empat syarikat dari Korea Selatan yang menunjukkan minat,” katanya selepas menghadiri Forum Perniagaan Johor-Korea 2023, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae.

Forum perniagaan itu turut disertai 60 delegasi perniagaan dari Korea Selatan dan negeri ini untuk melakukan padanan perniagaan serta meneroka potensi kerjasama antara kedua-dua pihak.

Ting Han turut memberitahu, Korea Selatan merupakan salah sebuah negara pelabur antarabangsa yang menjadi tumpuan negeri ini.

“Daripada segi ‘ranking’, Korea Selatan berada pada kedudukan ketiga atau keempat negara asing yang membuat pelaburan terbesar di Johor, tempat pertama antara China atau Singapura, manakala Korea Selatan dan Jepun menduduki tempat ketiga atau keempat.

“Untuk Korea Selatan, kita tumpu pelaburan melibatkan syarikat berkenaan kimia, petrokimia dan pembuatan kerana bidang itu merupakan kepakaran mereka.

“Menerusi langkah ini, kita bukan sahaja membawa masuk pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan, malah juga pekerjaan berimpak tinggi yang akan memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada modal insan tempatan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya