KUALA SELANGOR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan arahan larangan sebarang aktiviti luar termasuk kokurikulum murid dan pelajar sekolah bagi mengelak serangan strok haba.
Arahan itu dikeluarkan menerusi satu pekeliling yang berkuat kuasa secara serta merta.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya meminta semua guru besar dan pengetua sekolah di seluruh negara mematuhi garis panduan terbaharu itu.
Katanya, keputusan mengenai larangan itu melibatkan semua kegiatan luar termasuk sukan, perkhemahan dan merentas desa.
“Ia melibatkan semua sesi persekolahan sama ada waktu pagi atau petang dan pembelajaran hanya dijalankan sepenuhnya dalam kelas atau bilik darjah.
“Larangan terkini itu meliputi garis panduan baharu yang ditetapkan KPM selepas turut memberi kelonggaran pemakaian pakaian sukan ekoran cuaca panas ketika ini,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Selamat Hari Raya Cikgu di Tanjong Karang di sini, hari ini.
Program itu melibatkan lapan rumah guru di sekitar daerah ini termasuk kediaman bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jaya, Faham Kosiran yang menghidap penyakit kronik.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti luar rumah jika tiada sebarang keperluan bagi mengelak strok haba.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan langkah itu membantu mengurangkan risiko terdedah dengan haba tinggi ekoran cuaca panas yang melanda negara.
Jelas Fadhlina, pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca dan suhu semasa dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Setakat ini, suhu sedia ada masih tidak menentu dengan berada pada tahap Amaran Satu.
“Jika berada pada Amaran Dua dan Tiga selama tiga hari berturut-turut, kita akan memberi kelonggaran untuk sekolah dicutikan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya bagaimanapun akan sentiasa mengikuti saranan KKM selaras dengan semua garis panduan yang ditetapkan. -UTUSAN