KLUANG:Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) diminta segera menyediakan laporan lengkap tentang kematian seorang murid lelaki berusia 12 tahun dipercayai akibat strok haba semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, pihaknya sudah menerima maklumat tentang kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
“Saya sudah maklum, berita tersebut sudah viral dan telah mengarahkan JKNJ untuk sediakan laporan lengkap.
“JKNJ akan keluarkan kenyataan dalam waktu terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pengarah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Dr. Mohammad Nizam Subaher berkata, pihaknya masih belum mendapat laporan penuh tentang kematian murid berkenaan.
Pihaknya akan menyerahkan laporan kepada Kementerian Kesihatan untuk pengesahan selanjutnya.
Dalam kejadian semalam, seorang murid, Airiel Syahren Syahrol disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ semasa menerima rawatan di HEBHK pukul 7 pagi.
Anak kedua daripada empat beradik itu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau kira-kira pukul 10 malam kelmarin.
Pada mulanya, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lelaki Bandar Kluang itu termasuk adik lelakinya berusia sembilan tahun dan ibu mereka mengalami demam biasa. – UTUSAN