SEGAMAT: Kementerian Kesihatan (KKM) masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Covid-19 bukan lagi kecemasan kesihatan global.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kementeriannya masih dalam peringkat perbincangan dan pemantauan secara berterusan sebelum sebarang keputusan baharu dibuat.
“Kita akan juga mempertimbangkan tentang perkara tersebut dan sedang melakukan perbincangan di peringkat tertinggi KKM dan kita akan teruskan (SOP) buat sementara ini. SOP seperti biasa itu sehinggalah kita membuat keputusan yang muktamad. Sama ada untuk mengikut seperti mana yang disarankan oleh WHO atau sebaliknya.
“Keadaan jangkitan Covid-19 di seluruh negara masih terkawal dan perkhidmatan kesihatan serta kapasiti di hospital tidak terjejas meskipun terdapat peningkatan kes,” katanya ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Masjid Bandar IOI, Segamat, di sini hari ini.
Majlis anjuran beliau tersebut dihadiri kira-kira 5,000 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum.
Dr. Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang tetap menggalakkan pemakaian pelitup muka di lokasi terbuka dan dalam kalangan golongan yang bergejala.
“Kalau kita bekerjasama dan bertanggungjawab dengan menjalankan kawalan kendiri, usaha itu akan dapat membendung penularannya,” tambahnya.
WHO pernah mengisytiharkan Covid-19 sebagai darurat kecemasan awam pada Januari 2020, kira-kira enam minggu selepas virus tersebut melanda dunia.
Semalam WHO mengumumkan Covid-19 tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global, sekali gus menjadi langkah besar menuju pengakhiran wabak yang sudah membunuh lebih 6.9 juta orang, selain mengancam ekonomi dan komuniti sejagat. – UTUSAN