Sistem amaran kepala air Yan beroperasi awal Jun

Sistem amaran kepala air Yan beroperasi awal Jun

MUHD. Afif Halim (dua kiri) dan Abdul Rahim Abdul Rahman (kiri) bersama kakitangan mereka melakukan pemeriksaan ke atas Alat Menyekat Aras Air Sungai yang dipasang di Titi Hayun di Yan. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Sistem amaran aliran puing yang dikenali sebagai Sistem Amaran Banjir Kepala Air (SABKA) yang dipasang di Titi Hayun di sini dijangka beroperasi sepenuhnya seawal bulan depan.

Ketua Penolong Pengarah Mekanikal, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Ir. Muhd. Afif Halim berkata, SABKA yang dibina di lembangan Sungai Dara Mandi itu akan memberi amaran awal kepada penduduk untuk membuat persediaan jika berlaku limpahan air melebihi paras biasa di kawasan berkenaan.

Katanya, proses menyiapkan alatan untuk penerimaan data sebagai persediaan bencana sekali gus dapat mengelak kehilangan nyawa dan harta benda itu kini hampir siap dan beberapa kali diuji untuk keberkesanannya.

“Kejadian kepala air boleh berlaku dengan pelbagai cara termasuk hujan lebat berterusan sama ada di puncak bukit atau di kawasan berpenduduk di kaki Gunung Jerai ini.

“Dengan adanya sistem ini, siren kecemasan akan berbunyi apabila paras air melebihi paras biasa yang secara langsung akan memberi masa kepada penduduk membuat persiapan untuk menyelamatkan diri dan harta benda mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa bersama Pegawai Pusat Ramalan Amaran Banjir Negara (PRABEN), Abdul Rahim Abdul Rahman yang mengadakan ujian terhadap peralatan SABKA selepas kejadian kepala air petang kelmarin.

Menurut Muhd. Afif, ujian di lapangan mendapati kesemua peralatan sudah hampir siap dipasang dan kini dalam proses kemas kini terakhir sebelum SABKA dapat digunakan.

“Kita beberapa hari melakukan pemeriksaan dan ujian terhadap semua peralatan yang dipasang di beberapa tempat termasuk di puncak Gunung Jerai dan Titi Hayun ini.

“Kebetulan kejadian kepala air berlaku semasa kita membuat ujian petang kelmarin dan ini memberi petanda baik kerana semuanya berfungsi dengan sempurna dalam usaha kita menjaga keselamatan penduduk bagi mengelak mereka ditimpa bencana alam seperti kejadian kepala air lalu,” katanya.

Utusan Malaysia melaporkan fenomena kepala air terbaru yang mengakibatkan Sungai Titi Hayun dan Sungai Seri Perigi di sini melimpah petang kelmarin menyebabkan penduduk yang tinggal di kaki Gunung Jerai kembali trauma dengan nasib dan harta benda mereka.

Rata-rata penduduk yang ditemui berkata, mereka kembali hidup dalam ketakutan sehingga ada yang tidak dapat tidur nyenyak semalam, tambahan lagi selepas mendapati kawasan puncak gunung itu diselaputi awan hitam.

Dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos 2021, enam mangsa terkorban manakala 1,732 rumah, 124 premis dan 14 chalet pelancongan desa terjejas akibat fenomena alam itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya