SEREMBAN: Persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 yang berlangsung hari ini merupakan persidangan terakhir sebelum DUN negeri ini dibubarkan yang dijangka pada bulan hadapan.
Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, persidangan kali ini diadakan singkat iaitu sehari sahaja.
“Saya berharap ahli-ahli yang berhormat sekalian dapat memberikan perbahasan yang baik dalam persidangan terakhir hari ini. Saya menyeru kepada semua ahli dewan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang persidangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya perutusan Yang Dipertua Dewan dalam Persidangan penggal kelima DUN Negeri Sembilan yang ke-14 di sini hari ini.
Jelas Zulkefly lagi, beliau turut berharap dapat berjumpa dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan penggal depan.
“Semoga saya dapat berjumpa dengan semua pada penggal hadapan” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam ucapan penggulungannya berterima kasih atas kerjasama semua pihak sepanjang beliau mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya berharap ketua jabatan dapat memberikan respon yang baik selepas ini terhadap aduan yang diberikan. Jangan ambil ringan dan diberi perhatian dan diambil tindakan oleh semua ketua jabatan mengenai perkara-perkara yang ditimbulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Saya juga memohon maaf andai ada salah silap tutur kata, penglihatan, pendengaran selama ini. Semoga kita berjumpa lagi di persidangan akan datang,” katanya lagi. –UTUSAN.