PONTIAN: Seorang pejalan kaki mengalami kecederaan apabila dilanggar sebuah kereta dipandu seorang wanita yang tiba-tiba mengalami sawan di Jalan Permata 4, Pekan Nanas, di sini pagi ini.
Turut rosak dirempuh ialah tujuh buah kenderaan, iaitu lima motosikal dan dua kereta yang diletakkan di bahu jalan di hadapan dua kedai makan berdekatan.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian pukul 7.10 pagi itu, pemandu kereta, Siti Faraisyah Mahfoz, 25, yang memandu Toyota Vios terselamat, kenderaannya terbalik.
“Ketika melalui kawasan tersebut, Siti Faraisyah yang dalam pulang ke rumahnya mengalami sawan dan hilang kawalan lalu melanggar seorang pejalan kaki yang dikenali sebagai Zahara sebelum merempuh kenderaan lain.
“Zahara yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan tersebut mengalami kecederaan di bahagian leher dan telah dihantar ke Hospital Pontian,” katanya di sini.
Mohammad Shofee menambah, dua buah motosikal yang dirempuh itu mengalami kerosakan di seluruh bahagian, manakala yang lain pada bahagian belakang dan sisi kanan, sementara sebuah kereta rosak seluruh bahagian.
“Ketika kejadian semua pemilik kereta dan motosikal terlibat sedang atau telah selesai menikmati sarapan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Pekan Nanas dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan Siti Faraisyah dari dalam kereta yang terbalik dan kemudian dihantar ke Hospital Pontian untuk menerima rawatan. – UTUSAN