Selepas Naail, adik Athif juga perlu RM9 juta ubati penyakit jarang jumpa - Utusan Malaysia

Selepas Naail, adik Athif juga perlu RM9 juta ubati penyakit jarang jumpa

NUR AHMAD FAIZ Mohd. Azmi (tiga, kiri) hadir melawat Muhammad Athif Fahri Mohd. Farhan yang mengidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1 dan memerlukan dana berjumlah RM9 juta untuk kos rawatan di Permatang Badak di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selepas Wan Muhammad Naail atau Naail yang berjaya memperoleh RM9 juta hasil sumbangan orang ramai bagi merawat penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1 dihidapinya, kini seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Athif Fahri Mohd. Farhan atau Athif juga mengharapkan keajaiban yang sama.

Dana terbabit adalah bagi membeli ubat Genetik Zolgensma yang berharga AS$2.1 juta (RM9.42 juta) yang dipercayai mampu menyembuhkan penyakit terbabit.

Bapa Athif, Mohd. Farhan Mohd. Sait, 33, berkata, menurut doktor anaknya tidak mempunyai banyak masa berikutan suntikan ubat terbabit perlu diambil sebelum usia dua tahun dan ketika ini anak bongsu dari tiga beradik itu sudah pun berusia setahun tiga bulan.

“Ketika lahir, doktor mengesan sesuatu tidak kena dengan Athif dan mengambil sampel darah untuk dibuat ujian… sebulan selepas itu dia disahkan menghidap penyakit Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1. Pihak perubatan memaklumkan anak kami tidak mempunyai harapan untuk hidup dan dijangka dapat bertahan sehingga enam bulan sahaja.

“Kami cuba mendapatkan rawatan untuknya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun gagal apabila pihak hospital memaklumkan mereka tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui dikediamannya di Permatang Badak di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Farhan berkata, beberapa bulan selepas mendapat perkhabaran duka itu dia berusaha membuat pencarian di internet untuk mendapatkan penyelesaian lain.

Jelasnya, terdapat maklumat tentang rawatan penyakit tersebut yang boleh dibuat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) namun kos rawatan terlalu mahal.

“Dengan mengambil suntikan bernilai RM9 juta itu, Athif berpeluang sembuh sepenuhnya tanpa perlu bergantung pada ubat lagi. Kini, anak saya bergantung pada ubat yang perlu diambil setiap hari dengan kos ubat mencecah RM40,000 sebulan.

“Namun begitu kami bernasib baik apabila banyak pihak memberi sumbangan untuk mendapatkan ubat berkenaan sehingga kini sudah masuk botol ketujuh,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini kira-kira RM1.7 juta berjaya dikumpul oleh Misi Rakyat untuk adik Athif.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang terus menyumbang melalui Yayasan Misi Rakyat (Misi Rakyat),” katanya.

Sementara itu, Athif turut menerima kunjungan Pengasas Yayasan Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd. Azmi.

Nur Ahmad Faiz berkata, pihaknya menjangkakan tidak akan mengambil masa lama untuk mengumpul RM9 juta sekiranya rakyat Malaysia terus bersatu membantu adik Athif.

“Ini kerana ia sama sahaja seperti dilakukan untuk adik Naail yang berjaya mengumpul jumlah itu dalam tempoh kurang sebulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya