SEREMBAN: Pasukan Selangor FC mara ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 3-1 dalam pertembungan suku akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Pasukan pelawat dikejutkan dengan gol Negeri Sembilan seawal minit pertama melalui jaringan Muhammad Safuwan Baharudin hasil lontaran ke dalam Tommy Mawat Bada.
Kelebihan yang tuan rumah itu bagaimanapun tidak bertahan lama ia selepas Selangor yang menggasak kubu tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ketiga dengan jaringan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.
Kedua-dua pasukan sering berbalas serangan namun kecekapan penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Selangor, Mohd. Kharulazhan Mohd. Khalid menafikan jaringan gol.
Kedudukan 1-1 terikat hingga permainan berhenti rehat pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Negeri Sembilan dan Selangor saling menggandakan serangan ke kubu lawan Selangor berhasil menemui gol pada minit ke-60.
Ia melalui gerakan penyerang pasukan itu, Mohamad Faisal Abdul Halim yang melorongkan bola kepada pemain import, Yohandry Jose Orozco Cujia dan penyerang import dari Venezuela itu melepaskan sepakan kencang ke kanan gawang gol Negeri Sembilan dan menewaskan Sikh Izhan Nazrel.
Pemain itu memusnahkan tentangan tuan rumah apabila sepakan kencangnya sekali lagi menewaskan Sikh Izhan Nazrel pada minit ke-87 untuk gol ketiga sekali gus Selangor layak ke pusingan separuh akhir Piala FA.
Di separuh akhir nanti, Selangor akan bertemu sama ada pasukan Johor Darul Ta’zim atau Penang FC dengan kedua-duanya akan beraksi esok.-UTUSAN.