TANAH MERAH : Sederet tiga buah kedai di Kampung Banggol, Jalan Lubuk di sini terbakar dalam kejadian pada pagi tadi.
Kebakaran pukul 6.15 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Mohd. Zulkifli Osman berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.17 pagi pihaknya terus bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja memadam kebakaran dan menyelamat.
Menurutnya, sejurus tiba dilokasi pihaknya mendapati kebakaran premis berkenaan sudah terbakar sebanyak 80 peratus.
“Kita tiba di lokasi kira-kira pukul 6.25 pagi dan mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengawal kebakaran.
“Operasi ini melibatkan dua jentera bersama 12 pegawai dan anggota masing-masing dari BBP Tanah Merah serta BBP Kemahang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zulkifli memberitahu, punca serta kerugian sebenar kejadian masih dalam siasatan.-UTUSAN