RM4b pelaburan industri makanan, minuman dibawa masuk ke Techpark@Enstek - Utusan Malaysia

RM4b pelaburan industri makanan, minuman dibawa masuk ke Techpark@Enstek

AMINUDDIN Harun (tengah) sewaktu merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Kilang Syarikat Mahsuri Food Sdn. Bhd. di Halal Park, Bandar Enstek, Nilai di Seremban semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak lebih RM4 bilion nilai pelaburan dibawa ke Kawasan Perindustrian Taman Teknologi Enstek atau Techpark@Enstek di sini yang berjaya menyediakan lebih 1,500 peluang pekerjaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah pelaburan terkumpul tersebut melibatkan projek industri makanan dan minuman termasuk syarikat gergasi dari luar negara.

“Ingin saya tekankan sekali lagi bahawa kawasan industri Techpark @Enstek ini merupakan pilihan pelabur khususnya dalam industri makanan dan minuman. 

“Antara syarikat-syarikat gergasi dari luar negara yang telah beroperasi di sini adalah seperti Coca-Cola Bottlers (M) Sdn. Bhd (Amerika Syarikat), Kellogg’s Malaysia (Amerika Syarikat) Ajinomoto (Malaysia) Bhd. (Jepun), Sunshine Bread (M) Sdn. Bhd. (Singapura); dan Purecircle Sdn. Bhd. (Armenia).

“Syarikat-syarikat baharu yang sedang di dalam proses pembinaan pula adalah seperti Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Belanda), Tyson Group (Amerika Syarikat) dan Farm Fresh Milk Industries,” katanya sewaktu berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Kilang Syarikat Mahsuri Food Sdn. Bhd. di Halal Park, Bandar Enstek, Nilai di sini semalam.

Pembinaan kilang dengan keluasan 24,000 meter persegi itu melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM250 juta yang membolehkan pihak syarikat Mahsuri Food meningkatkan kapasiti pengeluarannya serta menyediakan produk halal berkualiti tinggi.

Aminuddin dalam pada itu berkata, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar yang terbuka dalam mengalu-alukan kemasukkan para pelabur terutamanya pemain industri yang berteknologi tinggi

“Kedudukan Negeri Sembilan yang amat strategik iaitu berada di Central Region of Peninsular Malaysia dan berhampiran dengan ibu kota Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang menjadikan ia sebagai sebuah destinasi pilihan para pelabur. 

“Kerajaan Negeri juga sentiasa bertindak sebagai pemudahcara bagi mengelakkan birokrasi dan red-tape, seterusnya memastikan aktiviti perniagaan dan pelaburan di negeri ini berada dalam suasana persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN