JOHOR BAHRU: Kejatuhan nilai ringgit sejak dua minggu ini dibimbangi akan memberikan kesan buruk terhaadap ekonomi negara sekiranya kerajaan tidak melakukan sesuatu untuk mengatasinya segera.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana Malaysia masih mengimport banyak produk untuk kegunaan tempatan, selain turut berhutang dengan pihak luar.
“Ini semua memberi kesan terhadap ekonomi negara, khususnya kos sara hidup rakyat serta hutang negara dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) serta pasukannya perlu beri nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet pimpinannya untuk selamatkan ekonomi dan kewangan negara yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat. Bercakap benarlah walaupun pahit, adakah faktor lain yang bukan berbentuk ekonomi dan kewangan menjadi punca kejatuhan nilai ringgit.
Misalnya soal keyakinan rakyat terhadap prestasi ekonomi negara ini dan masa depan kehidupan mereka. Kalau jawapannya ya, maka sila beritahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya langkah pemulihan dapat dilakukan segera oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hassan berkata, sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi, iaitu Jabatan Perangkaan melaporkan Indeks Pelopor (Leading Index) yang boleh ditafsirkan bahawa ekonomi Malaysia bagi suku ketiga tahun ini akan berkembang perlahan.
“Dalam bahasa harian, prestasi ekonomi Malaysia tidak begitu baik. Justeru, Gabenor BNM perlu beritahu masalah sebenar kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
“Jangan bagi kenyataan gula-gula, iaitu kononnya ekonomi dan kewangan Malaysia dalam landasan yang betul dan berkembang. Kononnya nilai ringgit jatuh sementara dan terkawal kerana rakyat tidak mahu cakap-cakap seperti ini, rakyat sekarang cerdik dan mempunyai maklumat terkini di tangan mereka,” katanya sambil meminta Gabenor BNM turut membantu kerajaan memberi penjelasan khususnya berkaitan isu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).
Katanya, sebelum ini BNM maklumkan kenaikan kadar OPR akan mengukuhkan nilai ringgit tetapi sudah banyak kali kadar tersebut dinaikkan tetapi nilai ringgit semakin jatuh.
“Contohnya, pada Jumaat nilai satu dolar Amerika Syarikat bersamaan RM4.63. Jadi Gabenor BNM perlu berterus terang kepada Anwar apa sebenarnya punca kejatuhan ringgit sekarang dan tidak bolehlah BNM menepis dan cuci tangan menyatakan ringgit jatuh bukan salah mereka tetapi banyak faktor di luar kawalan mereka.
“BNM pun tidak boleh berhujah bahawa semua mata wang asing juga jatuh macam ringgit. Nasib baik BNM tak cakap macam itu kerana ketika nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika, maka kenapa nilai dolar Singapura dan rupiah Indonesia naik melonjak?” soalnya. – UTUSAN