KUALA LUMPUR: Kira-kira dua blok yang menempatkan kelas program pendidikan khas integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Setapak terjejas akibat kejadian hujan lebat serta ribut yang melanda beberapa kawasan terutama di ibu negara semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah berkenaan, kejadian itu menyebabkan bumbung di salah sebuah blok berkenaan runtuh dan tercabut.
Blok yang terjejas itu dikatakan menempatkan kira-kira tujuh kelas di bawah PPKI.
Usaha mendapatkan pihak sekolah bagaimanapun tidak berhasil dan seorang guru ketika ditemui berkata, sebarang tindakan dan arahan lanjut hanya akan dikeluarkan oleh Pengarah Pendidikan.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 15 sekolah di ibu negara dilaporkan terjejas akibat kejadian hujan lebat serta ribut yang melanda beberapa kawasan.
Berdasarkan laporan yang diterima beliau, sekolah-sekolah terlibat mengalami kerosakan seperti bumbung tercabut dan pokok tumbang.
Menurutnya, hujan lebat serta ribut yang berlaku itu agak teruk sehingga bukan sahaja sekolah dan rumah turut terjadi kejadian kenderaan dihempap pokok tumbang.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur sedang menjalankan semakan dan siasatan lanjut untuk mengenal pasti dengan lebih mendalam jenis dan tahap kerosakan semua sekolah yang terlibat.
“Buat masa ini, JKR sudah menasihatkan pihak sekolah termasuk guru-guru dan pelajar supaya mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga keselamatan lokasi berkenaan dipastikan terlebih dahulu,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.
Nanta memberitahu, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan usaha menyiasat, membaik pulih dan mengawal keselamatan dapat diselaraskan dengan sebaik dan sesegera mungkin.-UTUSAN