Rezeki Roti Kukus Kapas terjual 500 sehari

Rezeki Roti Kukus Kapas terjual 500 sehari

NORDINI Farina Hasni menunjukkan Roti Kapas Kukus perisa manisan dan pedas yang dijual dekat gerainya di Kampung Padang Jawa di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Keunikan makanan sampingan, Roti Kapas Kukus yang mempunyai pelbagai perisa menjadikan menu itu digemari ramai apabila terjual sebanyak 500 biji dalam masa tiga jam setiap hari.

Menurut peniaga Roti Kapas Kukus yang berasal dari Klang, Nordini Farina Hasni,28, resepi roti kukus tersebut diolah sendiri berdasarkan resepi yang disajikan semasa melancong ke Indonesia.

Katanya, dia tidak menyangka idea yang diperolehi menerusi pengalamannya ‘makan angin’ bersama suami, Zarif Asrul Hanif Jamaluddin, 31, menjadi sumber rezeki mereka sekeluarga sejak 11 Januari lalu.

“Kami mendapat inspirasi untuk menjual roti kukus ini semasa melancong ke sebuah negara jiran. Setelah pulang saya dan suami bercadang untuk menjual roti kukus tersebut, tetapi dengan cara kami.

“Kami pelbagaikan manisan dengan lapan perisa dan enam perisa pedas untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Padang Jawa hari ini.

Tambah Nordini Farina, terdapat pelbagai perisa ditawarkan kepada pelanggan seperti pandan, mentega, kaya, coklat, strawberi dan cappucino yang dijual pada harga RM6 setiap set. Sementara roti kukus berperisa pedas seperti ayam dan daging berempah dijual RM9.

Dalam pada itu, dia dan suami berhasrat membuka sebuah kafe pastri dan restoran bertema tersebut sedang dalam proses pembinaan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat termasuklah kunjungan pelanggan dari sekitar Lembah Klang dan Melaka.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman Instagram Roti Kapas Kukus atau berkunung sendiri ke Padang Jawa, di sini, untuk menikmati keistimewaan makanan tersebut. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN