KLUANG: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang ketika pergi ke sekolah selepas dihantar oleh ibunya awal pagi semalam.
Mohd. Bahrim Jayus, 52, berkata, anaknya, Nurybalqis Nur Ain yang belajar di Sekolah Menengah Sultan Abdul Jalil (SSAJ) tidak muncul ketika dijemput ketika isterinya, Suhana Murah, 44, selepas tamat sesi persekolahan kira-kira pukul 3 petang.
Pada mulanya anak ketiga daripada tujuh beradik itu disangkakan bertugas di perpustakaan sekolah, namun isterinya terkejut apabila dimaklumkan guru kelas bahawa Nurybalqis tidak hadir ke sekolah.
“Usaha selanjutnya dengan menemui rakan sekelas dan salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa Nurybalqis ada merancang untuk ke Perak pada Jumaat lalu.
“Seorang penduduk taman yang mengenalinya dalam pada itu memaklumkan ada melihat anak saya berada di hadapan sebuah kedai dobi layan diri di hadapan SSAJ sambil memegang telefon bimbit, seolah-olah sedang menunggu seseorang,” katanya menghubungi Utusan Malaysia.
Justeru, Mohd. Bahrim meminta bantuan orang ramai membantunya sekiranya melihat anaknya kerana percaya ada orang lain terlibat dalam kehilangan itu, namun tidak pasti sama ada lelaki atau wanita.
Mereka sekeluarga kini amat tertekan dengan kejadian ini kerana sepanjang tahun ini tiada perselisihan keluarga berlaku, malah tidak ada tanda-tanda anaknya akan melakukan sesuatu perkara seperti itu.
“Jika ada sesiapa yang melihat kelibat anak saya diharapkan dapat menghubungi talian 011-12472971 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh mengesahkan pihaknya ada menerima laporan tentang kehilangan remaja itu semalam.
Siasatan sedang giat dijalankan bagi mengesan pelajar itu dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab berkaitan kehilangannya. – UTUSAN