SEREMBAN: Seorang remaja lelaki maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan tujuh buah motosikal di Kilometer 259.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 2.40 pagi itu, mangsa, Ahmad Sheikhrul Razi Ab Kadir, 19, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di hampir keseluruhan bahagian badan.
Menurut Nanda, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sekumpulan motosikal pelbagai jenis yang ditunggang oleh penunggang lelaki masing-masing berusia anggaran sekitar 17 hingga 21 tahun dan seorang wanita berusia 21 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke arah Ampang, Selangor.
“Hasil siasatan awal mendapati apabila sekumpulan motosikal ini tiba di lokasi kejadian sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggang mangsa berusia 19 tahun di lorong tengah lebuh raya disyaki telah hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di atas jalan raya.
“Ini menyebabkan enam buah lagi motosikal lain cuba mengelak namun telah terlanggar sesama sendiri.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC berusia 19 tahun maut di lokasi kejadian manakala mangsa dua lelaki masing-masing berusia 21 tahun dan 18 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Nanda, seramai empat orang mangsa yang lain mengalami kecederaan ringan di tangan dan kaki.
“Mayat mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk proses bedah siasat manakala lain-lain mangsa turut dibawa ke hospital sama dan sedang menerima rawatan di zon merah dan zon kuning,” katanya.
Nanda berkata, pihak polis menggesa mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan tersebut atau mempunyai rakaman video berkaitan kes untuk tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801 bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-UTUSAN.