BENTONG: Keseronokan empat sahabat mandi-manda di sungai berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka hanyut dibawa arus di Kampung Orang Asli Gabong di sini, petang tadi.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa, Muhammad Syafiq Akmal Zaidi, 17, berasal dari Felda Lakum, Lanchang, Temerloh.
“Anggota bomba dari Balai Bomba Bentong menerima panggilan kejadian tersebut kira-kira pukul 5.10 petang dan bergegas ke lokasi membabitkan kekuatan seramai 10 anggota termasuk pegawai.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian, mangsa terbabit disyaki lemas ketika mandi bersama tiga rakannya. Dia dipercayai terjatuh lalu dibawa arus deras.
“Pasukan penyelamat segera membuat pencarian awal menggunakan teknik pencarian di permukaan dan menggunakan grappling iron,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Zulfadli berkata, setakat ini operasi pencarian mangsa masih lagi diteruskan. – UTUSAN