ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari Kubang Rotan, Kuala Kedah di sini bukan sahaja meminati bidang ternakan sejak kecil, malah, mahir menternak lembu sado daripada baka Charolaise.
Muhammad Zaim Mirza Muhammad Zaidi atau lebih dikenali sebagai Zaim yang mewarisi bakat itu daripada arwah datuknya, Hamid Man kini menternak empat ekor lembu sado daripada baka yang dianggap terbaik itu di kandang keluarga mereka dekat Ayer Hitam, Jerlun.
“Saya mengikut arwah tokwan menternak lembu sado ini sejak umur sembilan tahun. Setelah tokwan meninggal dunia pada Februari tahun lepas, saya ambil alih semua kerja menternak.
“Alhamdulillah, dengan semua ilmu yang saya belajar sejak kecil daripada arwah, saya dapat jaga kesemua lembu sadonya dengan baik termasuk lembu terakhir peninggalan arwah yang diternaknya sebelum meninggal dunia yang berusia 10 bulan,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Lembu Sado Utara 2.0 di Taman Jubli Emas, di sini semalam.
Zaim merupakan satu-satunya peserta cilik dalam pertandingan yang disertai lebih 150 penternak lembu sado dari Perlis, Perak, Pulau Pinang dan negeri ini.
Bercerita lanjut, empat lembu sado yang diternaknya itu berusia antara empat tahun hingga 10 bulan terdiri daripada baka Charolaise yang mampu mencecah berat sehingga 1,000 kilogram (kg)
“Empat lembu sado ini saya bagi nama, Joe, lembu betina yang beratnya sudah cecah 1,000 kg, anaknya, Johan, yang sama bawa ke pertandingan ini berusia 10 bulan, Lanini, setahun setengah dan Teh, dua tahun.
“Paling saya sayang, Johan kerana ini peninggalan terakhir arwah tokwan. Ada orang tawar RM10,000 untuk beli Johan tetapi saya tak bersedia nak lepas Johan lagi. Tak lama lagi ternakan saya bertambah kerana Joe tengah bunting. Sebab itu saya tak bawa Joe ke sini,” kata pelajar Tingkatan Satu ini.
Kata Zaim, minatnya dalam bidang tersebut mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapanya setelah dia berjanji untuk tidak mengabaikan pelajaran.
“Saya janji untuk urus masa betul-betul kerana waktu belajar saya akan belajar. Saya ke kandang setiap hari pada pukul 4 atau 5 petang untuk bagi lembu makan, mandikan dan bersih kandang,” katanya.
Sebagai seorang penternak, katanya, dia juga perlu mahir dalam soal pemakanan dan kesihatan lembu termasuk dari segi vitamin dan vaksin untuk tumbesaran haiwan itu.
“Dalam hal ini Jabatan Veterinar banyak membantu. Semua perkara ini saya belajar dari arwah tokwan kerana lembu ini perlu dijaga dengan baik selain cukup makan perlu cukup vitamin dan divaksin bagi mencegah penyakit,” katanya.
Selain itu, kata Zaim, dia juga mempunyai kemahiran menumbangkan dan mencucuk hidung lembu yang dipelajari daripada arwah datuknya itu.
“Selain cucuk lembu ternakan saya, saya juga cucuk lembu orang lain. Secara percuma sahaja sebagai sedekah kerana itulah yang dibuat oleh arwah tokwan dulu,” katanya.
Katanya, menternak lembu sado agak rumit namun menguntungkan kerana ternakannya itu pernah dijual sehingga RM25,000 seekor sebelum ini.
“Duit itu saya buat modal dan baki saya simpan dalam Tabung Haji,” katanya yang turut menternak lembu untuk korban.-UTUSAN