Tatkala apabila sebuah masjid sentiasa penuh sehingga jemaah melimpah ke luar setiap waktu, atau sebuah sekolah bersesak-sesak pagi dan petang dengan semua bilik darjahnya sendat dengan murid-murid, tiada siapa yang mempersoal keperluan untuk meluaskan masjid atau membina sekolah baharu.
Tidak ada sesiapa juga yang akan mempersalahkan jemaah atau murid yang membanjiri institusi-institusi ini. Malah mana mungkin ada individu yang sanggup menghalau mereka daripada hadir beribadah atau belajar.
Memelihara kebebasan dan melindungi hak untuk beribadah dan mendapatkan pendidikan penting dalam kehidupan seharian masyarakat merdeka, maju dan progresif.
Selain itu, kesihatan juga merupakan aspek yang sama penting yang perlu dilindungi.
Hak untuk kesihatan adalah hak sosioekonomi dan budaya bagi mencapai tahap kesihatan minimum universal termaktub sebagai hak asasi kemanusiaan sejak hampir 80 tahun yang lalu.
Secara prinsipnya, sesebuah kerajaan itu bukan sahaja mempunyai tanggungjawab memastikan setiap individu berpeluang untuk kekal sihat dengan mencapai perkhidmatan ditawarkan sistem perlindungan kesihatan tanpa diskriminasi, selain menyediakan persekitaran yang membolehkan pengekalan kesihatan pada tahap yang baik.
Tidak kira setakat mana sumber dan kewangan yang ada, prinsip kezahiran berkemajuan (progressive realisation) menekankan sesebuah kerajaan itu perlu mengambil langkah untuk menegakkan hak ini.
Termasuk memastikan kecukupan infrastruktur perkhidmatan kesihatan, capaian perkhidmatan yang konsisten dan mudah, bentuk perkhidmatan yang sesuai dengan konteks sosiobudaya dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Sektor perkhidmatan kesihatan awam perlu dilihat sebagai satu mekanisme perlindungan sosial, yang perlu disokong penuh sama seperti sistem-sistem perlindungan sosial asas universal yang lain seperti perkhidmatan bomba dan keselamatan.
Dengan pemahaman ini, reformasi kesihatan kebangsaan tidak sekali-kali boleh mengabaikan aspek pengukuhan perkhidmatan sedia ada. Tetapi ini tidak bermaksud perkara lain seperti pencegahan dan perluasan kaedah pembiayaan kesihataan dipinggirkan.
Sebaik-baiknya, pendekatan strategik menyeluruh diperlukan yang menggambarkan reformasi kesihatan sebagai satu usaha untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan kesihatan negara (sovereign health security), yang mana setiap lapisan keupayaan pertahanan kesihatan negara ini perlu diperbaiki dan diperkasakan sama rata bagi melahirkan impak bermakna kepada kelangsungan kedaulatan ekonomi dan kesejahteraan negara.
Terdapat pelbagai model dan kaedah untuk menggambarkan struktur keupayaan ini – yang penting pemilihan model yang betul perlu dilakukan dengan teliti dan berhemah agar perancangan dan perlaksanaan dapat dilakukan tanpa pembaziran selian menepati keperluan.
Kita boleh bayangkannya mempunyai empat lapisan. Lapisan paling luar bersifat sebagai perisai dan pelindung am, yakni keupayaan untuk mengenalpasti dan bertindakbalas kepada ancaman penularan penyakit, serta kesiapsiagaan asas bagi perlindungan komuniti.
Lapisan kedua adalah keupayaan pencegahan penyakit dan pemberdayaan individu meningkatkan kawalan kendiri untuk mengekalkan tahap kesihatan baik. Kejayaan mengukuhkan elemen ini akan membantu mengawal kos dan beban perkhidmatan masa hadapan dengan meningkatkan tahap kesihatan keluarga dan mengurangkan tahap keseriusan penyakit.
Ia banyak bergantung kepada aktiviti promosi kesihatan, yang selalunya dianggap remeh. Lapisan seterusnya adalah yang paling besar iaitu keupayaan pembiayaan kesihatan lestari dan kemajuan tahap dan kualiti perkhidmatan. Ini lazimnya dikelirukan dengan lapisan terakhir iaitu sistem perlindungan kesihatan sosial.
Walaupun kedua-dua elemen ini berkait rapat dan ada pertindihan, ia tidak boleh diperlekehkan sebagai hanya perbezaan antara perkhidmatan perubatan swasta dan kerajaan.
Perkhidmatan kesihatan moden berkualiti mempunyai kos yang signifikan, disebabkan penggunaan teknologi tinggi, keperluan tenaga kerja terlatih, berkait dengan sokongan logistik dan teknologi maklumat kompleks serta terikat dengan beban perlindungan liabiliti bersangkutan. Kos ini hampir sama, tidak kira di premis kerajaan mahupun swasta.
Yang bezanya adalah siapa yang terbeban dengan kos ini. Untuk menjamin kelangsungan sektor perlindungan sosial, penyetaraan beban menampung kos rawatan perlu dilakukan secara adil dan berhemah supaya golongan rentan yang berisiko tinggi dipinggirkan daripada mendapatkan rawatan kesihatan kritikal sentiasa dilindungi.
Setiap individu perlu memikul beban menampung kos rawatan yang setimpal mengikut tahap kemampuan masing-masing. Ini boleh ditampung dengan sistem insurans perlindungan kesihatan yang adil dan berpaksikan pesakit, bukannya yang memberatkan kepentingan pemegang saham syarikat.
Kita bersyukur pernah mencapai taraf perkhidmatan kesihatan swasta terbaik di dunia tidak lama dahulu, dan diakui mempunyai sistem kesihatan awam yang baik.
Walaupun jelas kelemahan-kelemahan yang sedia ada bagi capaian perkhidmatan rawatan di hospital kerajaan dan swasta tempatan, rakyat Malaysia dapat menikmati perkhidmatan kesihatan berkualiti yang jauh lebih bagus berbanding negara lain.
Maka kita berusaha lebih gigih dan pintar untuk melahirkan sistem kesihatan awam kebangsaan yang dibanggakan oleh semua di Malaysia Madani, Sejahtera dan Makmur untuk semua.
Penulis ialah Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) Universiti Kebangsaan Malaysia.