KOTA BHARU: Sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini yang dilimpahi air selepas bumbungnya bocor dalam kejadian ribut dan hujan lebat semalam kembali beroperasi seperti biasa hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini, mendapati urus niaga di pusat beli-belah itu berjalan seperti biasa dan orang ramai tetap berkunjung ke lokasi tersebut.
Pada masa sama, tinjauan turut mendapati berlaku sedikit kerosakan pada bahagian bumbung di tingkat dua pusat membeli belah itu akibat kejadian semalam.
Seorang saksi berusia 20-an yang enggan dikenali berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar pukul 5 petang.
Menurutnya, semasa kejadian dia dan rakan yang sedang bekerja itu dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat terus bertindak keluar untuk melihat keadaan.
“Sebaik sahaja keluar, limpahan air yang mengalir itu sudah masuk ke dalam premis tempat saya berkerja. Ketika itu, saya lihat pengunjung yang berada di tingkat dua dan bawah bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, selepas satu jam kemudian keadaan kembali reda,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semenatara itu, jurucakap pusat beli belah tersebut memberitahu hanya beberapa keping bumbung telah terjatuh akibat angin kuat kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan.
Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan apa yang berlaku kerana ia melibatkan kerosakan kecil.
Sebelum itu, tular di media sosial memaparkan tingkat dua sebuah pusat beli-belah di sini dimasuki air ekoran ribut dan hujan lebat semalam.-UTUSAN