LIPIS: Pembahagian kerusi di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak boleh dilakukan secara tergopoh-gapah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang keputusan perlu dibuat atas faktor kesaksamaan dan juga kebolehmenangan calon itu sendiri.
“Soal pembahagian kerusi itu bukan sekadar atas dasar kesaksamaan tapi tentang kebolehmenangan, maka apa yang dilakukan parti dalam kerajaan Perpaduan adalah mengadakan perbincangan BN dan PH dahulu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Sungai Koyan di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung dakwaan proses pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) lebih baik berbanding parti dalam kerajaan Perpaduan.
Semalam, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata, rundingan pembahagian kerusi dalam kalangan komponen PN bagi menghadapi PRN di enam buah negeri hampir 50 peratus.
Idris memaklumkan rundingan itu masih berjalan di antara Pas bersama rakan-rakan dalam komponen PN menjelang PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Ahmad Zahid berkata, apabila perbincangan di peringkat negeri dimuktamadkan, ia akan dibawa ke peringkat nasional yang mana pengerusi gabungan dalam BN dan PH akan memuktamadkannya.
“Maka kita tidak akan membuat keputusan tergopoh-gapah kerana bukan saja soal kemenangan, tetapi soal penerimaan oleh para pengundi dan juga ‘like ability’ seseorang calon yang disukai, yang sesuai dengan cita rasa pengundi,” katanya.
Beliau memaklumkan kerajaan Perpaduan masih mempunyai masa yang panjang bagi memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi itu.
“Mungkin sampai bulan Julai atau Ogos untuk kita hadapi kempen pilihan raya secara rasmi.
“Ini perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertembungan ataupun sebarang permasalahan apabila calon dipilih itu tidak dapat memberikan kemenangan dalam PRN itu nanti,” katanya. – UTUSAN