KOTA BHARU: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mengingatkan seluruh peniaga rokok di negara ini supaya mendapatkan lesen bagi menjual barangan tersebut sebelum pelesenan dengan fi dikuatkuasakan bermula 1 Januari tahun hadapan.
Ketua Pengarahnya Idris Mohd. Salleh berkata, bermula tahun lalu LTKN ligat memperhebatkan pendaftaran lesen tanpa fi melibatkan pengedaran rokok atau produk keluaran tembakau di semua premis di seluruh negara sebelum peraturan itu dikuatkuasakan.
Menurutnya, penguatkuasaan itu selaras dengan Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692) dan Seksyen 39 (1) akta sama yang memperuntukan bahawa tiada seorang boleh dan mengedarkan atau keluarkan tembakau tanpa suatu lesen yang sah.
“Oleh itu, pemilik premis yang belum berbuat demikian diminta supaya segera memohon lesen. Permohonan itu boleh dibuat secara dalam talian.
“Selain itu, pendaftaran boleh dilakukan menerusi kaunter pelesenan LKTN beroperasi di semua pejabat LTKN di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak, Johor, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bagaimanapun, kadar fi akan ditetapkan kerajaan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara di Ibu Pejabat LKTN, di sini hari ini.
Idris memberitahu, sehingga kini LTKN sudah menerima 16,000 permohonan untuk mendapatkan lesen tersebut di seluruh kawasan semenanjung Malaysia.
Katanya, bagaimanapun hampir 60,000 premis sudah dikenal pasti dan perlu dilesenkan bagi tujuan penjualan rokok di seluruh negara.
“Jumlah tersebut melibatkan kedai berangkai dan lain-lain.
“LTKN sudah diberi mandat dan tanggungjawab untuk melesenkan perkara tersebut dan pada masa sama, kita turut menjalinkan kerjasama dengan agensi lain dalam menguatkuasakan peraturan itu,” ujarnya.-UTUSAN