Pondok Polis Triang beroperasi 1 Jun - Utusan Malaysia

Pondok Polis Triang beroperasi 1 Jun

YAHAYA Othman (kiri) mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ketua Polis Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir (kanan) di Pondok Polis Triang di Bera, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Pondok Polis Triang di sini akan beroperasi pada 1 Jun ini di bekas tapak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berpindah ke lokasi baharu di bandar Bera sejak 2016.

Ketua Polis negeri, Datuk Yahaya Othman berkata, selepas terbiar hampir tujuh tahun, lokasi tersebut akan dijadikan Pondok Polis Triang bagi memenuhi permintaan penduduk membuat aduan berhubung jenayah di kawasan tersebut.

Menurutnya, semua kemudahan di situ dipindahkan ke bangunan baharu di bandar Bera kira-kira lima kilometer menyebabkan pekan Triang ‘lompang’ tiada pondok polis.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju mewujudkan semula pondok polis di situ setelah menyedari potensinya kepada keselamatan dan ketenteraman awam di sekitar Pekan Triang.

“Terdapat kira-kira 20,000 penduduk sekitar pekan Triang termasuk perkampungan Orang Asli, estet dan kampung baru memerlukan sebuah pondok polis di situ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kepolisan Berprofil Tinggi di Pondok Polis Triang di sini hari ini.

Yahaya berkata, Pondok Polis Triang satu-satunya premis yang dibenarkan menerima laporan pelbagai kes antaranya seperti jenayah, komersial dan kemalangan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pondok polis yang masih beroperasi akan dinilai semula bagi mengelakkan pertindihan tugas dengan balai polis berdekatan.

Beliau dalam pada itu menggesa masyarakat bertindak sebagai mata dan telinga polis melaporkan elemen jenayah di kawasan mereka.

“Faktor utama kejayaan polis mengurangkan kadar indeks jenayah di negeri ini hasil kerjasama masyarakat membuat laporan. Antara maklumat yang disalurkan seperti aktiviti perjudian, pengedaran dan penagihan dadah, curi sawit, warga asing, nombor ekor haram dan kegiatan jenayah lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya