PASIR PUTEH: Polis Kelantan mengingatkan rakyat Thailand yang berada di negeri ini supaya menggunakan laluan sah untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) negara itu Ahad nanti.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rakyat Thailand boleh menggunakan tiga laluan sah yang telah sedia ada iaitu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga (Jeli), Rantau Panjang (Pasir Mas) dan Pengkalan Kubor (Tumpat).
“Sekiranya ditangkap mereka akan hilang hak untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRU itu nanti.
“Bagi saya ia satu kerugian…jika tidak dapat menjalankan tanggungjawab tersebut,” katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas berkemungkinan ada dalam kalangan rakyat Thailand yang berada di negeri ini akan pulang mengundi menggunakan laluan tidak sah.
Terdahulu Muhammad Zaki hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini malam tadi.
Pada Ahad ini, lebih 52 juta orang rakyat Thailand yang layak mengundi akan menjalankan tanggungjawab untuk memilih pemimpin dan parti yang bakal mentadbir negara berkenaan.
Jumlah tersebut termasuk 4 juta pengundi baharu yang akan menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih buat kali pertama.
Parti Prachathipat, Phua Thai, Plang Pracharat, Prachachart, Phoomjai Thai dan Sri Ruam Thai antara parti yang popular di Thailand.-UTUSAN