PN jumpa Anwar bincang isu agihan peruntukan pembangkang - Utusan Malaysia

PN jumpa Anwar bincang isu agihan peruntukan pembangkang

TAKIYUDDIN Hassan (dua kiri) menyantuni tetamu yang hadir ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu berkait dengan agihan peruntukan melibatkan ahli Parlimen pembangkang yang masih belum menemui titik noktah sehingga hari ini.

Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas terkejut dengan jawapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengatakan masih menunggu permohonan daripada ahli-ahli Parlimen Pembangkang.

“Saya rasa tidak perlu berbuat demikian kerana bila kerajaan pusat sudah buat keputusan untuk memberikan peruntukan tersebut, sepatutnya ia dilaksanakan tanpa sebarang syarat,” katanya pada sidang akhbar pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Kawasan Kota Bharu, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya menyulitkan proses untuk memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen Pembangkang kerana ia adalah untuk kepentingan rakyat.

Katanya ahli Parlimen pembangkang kini berdepan pelbagai permohonan daripada rakyat termasuk untuk sumbangan, pembangunan dan kebajikan.

“Awalnya Perdana Menteri meminta saya bertemu Fadillah untuk membincangkan perkara tersebut dan ia telah dilaksanakan pada Ramadan lalu. Pada sasnya perkara itu telah dijanjikan oleh Kerajaan Pusat yang ada sekarang ini termasuk di dalam manifesto pilihan raya mereka sendiri, iaitu memberikan peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen tanpa sebarang syarat.

“Jika mereka mahu meletakkan syarat, sila kemukakan dan kita tengoklah sama ada boleh dipenuhi atau sebaliknya. Namun saya menyatakan tidak perlu buat permohonan atau apa-apa syarat. Pemberian peruntukan kepada ahli Parlimen sepatutnya menjadi amalan yang diteruskan daripada kerajaan terdahulu,” ujarnya. 

Dalam pada itu beliau berharap agar Kerajaan Perpaduan lebih prihatin terhadap keperluan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan mengambil tindakan secepat mungkin bagi menyelesaikannya.

“Sekarang ini sudah masuk bulan kelima untuk tahun ini dan pada Oktober nanti akan ada pembentangan bajet baharu. Jadi bajet sedia ada perlu digunakan dengan sewajarnya,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya