REMBAU: Perdana Menteri hari ini mengumumkan peruntukan tambahan bagi tujuan membaiki kerosakan di blok asrama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di Pedas dekat sini yang musnah dalam kejadian kebakaran Julai tahun lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tersebut ketika beliau mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan hari ini.
“Saya melihat perkembangan kesan daripada kerosakan kebakaran, saya tahu Ahli Parlimen ada mengambil langkah-langkah perlu, kerajaan negeri juga sudah ambil langkah segera, peruntukan juga sudah diluluskan di peringkat awalnya namun pelaksanaannya terlalu mengikut proses.
“Oleh yang demikian saya akan pastikan peruntukan ditambah dan pelaksanaan (pembaikan) disegerakan, saya difahamkan kelulusan peruntukan diberikan sebelum ini hampir RM3 juta tetapi melihat keadaan asrama dan bumbung dan surau ia tidak mencukupi.
“Saya akan minta menteri besar bincang dgn pengarah Jabatan Kerja Raya supaya dapat Kementerian Kewangan sediakan kelulusan khas untuk dipercepatkan dan tidak ikut proses JKR, fast track, daripada peruntukan yang diumumkan sebelumnya, ia ditambah menjadi RM3.89 juta,” katanya sewaktu berucap pada lawatan tersebut.
Yang hadir sama, Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM310,000 bagi tujuan menaik taraf bilik guru dan surau di sekolah berkenaan.
“Terima kasih kerana kecekalan pengetua dan pendidik serta disiplin anak-anak di sini yang dapat mengangkat kedudukan sekolah ini menjadi antara sekolah yang mencatat sebagai sekolah cemerlang.
“Sekolah ini tidak daif tetapi daripada prasarana sangat sederhana, kalau lihat asrama itu kesesakannya luar biasa, kemudahan-kemudahan agak minimum tetapi masih mampu kerana komitmen dan dedikasi tenaga pengajar dan disiplin anak-anak dengan masih mengangkat martabat akademik satu sekolah ini.
“Dengan kemudahan tambahan ini yang saya umumkan dan yang akan disegerakan, saya percaya sekolah ini akan muncul bukan sahaja sebuah sekolah cemerlang tetapi sebagai sekolah contoh.
Pada kejadian pukul 1.15 tengah hari, 31 Julai tahun lalu, kira-kira 10 bilik asrama pelajar lelaki SMKA Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di Pedas dekat sini musnah dalam kebakaran yang turut melibatkan bahagian bumbung dan dinding sebuah kelas di blok bersebelahan.-UTUSAN.