Piala FA: JDT berpesta gol, mudah ke separuh akhir - Utusan Malaysia

Piala FA: JDT berpesta gol, mudah ke separuh akhir

PEMAIN pertahanan JDT, Jordi Amat diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pada perlawanan suku akhir Piala FA menentang Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pusingan separuh akhir Piala FA dengan bergaya apabila berpesta gol 5-0 menjinakkan Harimau Kumbang pada aksi suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi. 

JDT yang menggunakan formasi 4-4-2 merehatkan beberapa pemain utama seperti Bergson Da Silva, Leandro Velazquez, Afiq Fazail dan Nathaniel Shio Hong Wan dan menurunkan Diogo Luis Santo, Natxo Insa, Endrick Dos Santos dan Juan Muniz.

Beraksi di gelanggang keramat JDT, pasukan kendalian Manzoor Azwira Abd. Wahid tidak sekadar bermain bertahan, sebaliknya mencari ruang untuk melancarkan serangan balas.

Skuad Harimau Kumbang berpeluang melancarkan serangan ke arah lawan pada awal permainan menerusi percubaan Adriano Narcizo dan Nik Akif Syahiran Nik Mat, namun percubaan itu tidak tepat ke arah pintu gol lawan.

Pada minit ke-16, giliran JDT menguji kecekapan penjaga gol lawan menerusi percubaan berganda oleh Juan Muniz dan Fernando Forestieri, namun berjaya diselamatkan oleh Azfar Arif Sukri.

Skuad bimbingan Esteban Solari kemudiannya bertali arus merencana gerakan untuk memburu gol pembukaan dan akhirnya, gawang utuh Penang FC runtuh pada minit ke-32.

Tandukan yang dilakukan Forestieri yang terbias setelah menggegar palang cuba dikeluarkan oleh Ousmane Fane, namun tertampan ke gawang sendiri setelah dicabar oleh Luis Santo.

Enam minit berselang, gawang Harimau Kumbang bolos lagi, kali ini menerusi jaringan voli pemain pertahanan, Jordi Amat dari jarak dekat yang mẹmbuatkan Azfar Arif tidak mampu berbuat apa-apa.

Gol yang dijaringkan pada minit ke-38 itu adalah gol pertama buat pemain pertahanan Indonesia yang memanfaatkan hantaran pertahanan tengah, Shane Lowry.

Forestieri hampir memahatkan namanya dalam senarai penjaring, namun rembatan kencang yang dilakukan minit akhir babak pertama hanya sekadar menggegar palang gol.

Bersambung babak kedua, Harimau Selatan yang terus buas melancarkan serangan ke kubu lawan dihadiahkan sepakan penalti selepas rembatan Muniz terkena tangan pemain pertahanan, Khairul Akmal Rokisham.

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi dikawal oleh dua pemain pertahanan Penang FC pada perlawanan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Arif Aiman Hanapi yang diberikan tanggungjawab mengambil sepakan penalti itu tidak berdepan tugas sukar menyempurnakannya untuk meletakkan JDT pada kedudukan selesa pada minit ke-49.

Jaringan itu sedikit pun tidak membuatkan Solari mengarahkan pemain untuk memperlahankan rentak permainan, namun lebih bernafsu untuk melakar kemenangan dengan jaringan lebih besar.

Pada minit ke-58, Corbin Ong menambah derita pasukan pelawat apabila meledak gol keempat perlawanan memanfaatkan umpanan Muniz dengan melepaskan rembatan leret ke penjuru kiri pintu gol Penang.

Mohamadou Sumareh yang dibawa masuk pada babak kedua terlepas peluang keemasan untuk menambah jaringan buat Harimau Selatan setelah tandukannya sedikit tersasar dari pintu gol lawan.

Luis Santo berusaha keras untuk meletakkan namanya dalam senarai penjaring, namun masih gagal setelah mendapat beberapa peluang menarik untuk mencipta jaringan.

Syafiq Ahmad yang dibawa masuk menggantikan pemain import itu melengkapkan kenduri gol JDT apabila meledak gol terakhir permainan menerusi rembatan lencong melepasi jangkauan penjaga gol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya