PASIR SALAK: Pesawah di kawasan Sungai Manik di sini kecewa berikutan projek pembinaan sistem pengairan menggunakan longkang konkrit untuk sawah mereka yang pembinaannya bermula sejak beberapa tahun lalu namun masih belum siap.
Antara kawasan sawah padi di Sungai Manik yang terlibat dengan keadaan itu ialah Parit 2, Parit 12, Parit 15, Parit 17 dan Parit 19.
Pesawah yang ditemui berkata, keadaan itu menyebabkan sistem pengairan sawah di situ menjejaskan tanaman dan keadaan itu turut menjejaskan penghasilan padi pada setiap musim.
Pesawah, Masrup Sunkir, 64, berkata, masalah longkang konkrit yang dibina tidak siap sepenuhnya seperti ada di antaranya yang tiada penutup, tidak dapat mengawal paras air dan tidak dapat mengatasi masalah banjir.
Menurutnya, projek pembinaannya tidak sempurna walaupun sudah lama dilaksanakan.
“Sepatutnya projek ini dibuat sehingga siap, bukan ditinggalkan tanpa siap sempurna. Keadaan ini menjejaskan tanaman dan pendapatan kami.
“Kami berharap kerajaan segera melihat perkara ini agar projek ini dapat disiapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang meninjau kawasan sawah padi terlibat berkata, sebelum ini kerajaan telah berbelanja besar untuk melaksanakan projek naik taraf tali air di kawasan sawah padi di Sungai Manik.
Katanya, dianggarkan kos projek tersebut antara RM200 hingga RM300 juta namun ia masih gagal disiapkan.
“Semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pertanian, pelbagai masalah petani saya perjuangankan seperti isu beras, benih padi, subsidi dan sistem pengairan sawah padi yang beratus juta ringgit kita bawa ke Sungai Manik.
“Projek ini adalah projek baik taraf tali air kepada konkrit untuk mengatasi masalah pengairan sawah padi di sini tetapi sudah lama ia laksanakan namun belum dapat disiapkan,” katanya.
Tajuddin meminta kerajaan supaya melantik pihak yang benar-benar pengalaman dalam bidang pengairan bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan.
“Saya harap tali air di sini dapat dijaga dengan baik oleh agensi yang berkenaan supaya dapat dipastikan pesawah mendapat cukup air untuk sawah dan mereka dapat meningkatkan produktiviti
“Saya juga menasihatkan kerajaan agar berhati-hati memilih kontraktor yang melaksanakan projek tali air ini sebab ia besar maknanya kepada petani.
“Berdasarkan pengalaman yang sudah-sudah, mereka yang terlibat dalam pengurusan pengairan ini selalunya mereka tak turun padang pun apabila kajian sesuatu projek hendak dilaksanakan, hanya berdasarkan laporan pihak konsultan sahaja,” katanya. –UTUSAN