BACHOK: Kementerian Keterjaminan Makanan memperuntukkan perbelanjaan tambahan berjumlah RM400,000 bagi membantu para petani dibawah selian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) untuk menghadapi musim kemarau yang sedang melanda negeri ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan itu melibatkan penyediaan 100 buah pam dan 100 unit telaga tiub untuk kemudahan para petani mengerjakan sawah.
“Besar harapan kita agar para petani dapat memulakan kerja-kerja penanaman padi ini pada awal Jun nanti bermula dengan membajak tanah.
“Kalau pam-pam ini masih belum mencukupi, kita akan mempertimbangkan bagi menambah lagi keperluan sebelum adanya sistem pengairan lebih sesuai pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas majlis turun padang bersama petani di Kampung Bukit Kechik, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut Mohamad turut melihat operasi pam yang disediakan untuk kemudahan pengairan petani sepanjang musim kemarau.
Hadir sama Pengurus Besar Kada Mohd. Faizul Mustafa.
Dalam perkembangan lain, Mohamad memberitahu, beliau mahu hasil pengeluaran Kada dapat ditingkatkan pada masa hadapan.
Katanya, pengeluaran sebanyak lima tan untuk satu hektar disifatkan sebagai sederhana berbanding di Sekinchan, Selangor yang sudah mencecah purata antara tujuh hingga 10 tan.
“Segala usaha baru perlu diperkenalkan dari masa ke masa di Kada walaupun mengambil masa yang agak panjang sedikit.
“Insya-Allah, jika Kada dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Kedah mencapai purata antara tujuh hingga 10 tan berkemungkinan besar kita tidak perlu lagi mengimport beras,” ujarnya.-UTUSAN