GEORGE TOWN: Beberapa pekedai runcit di sekitar daerah Barat Daya di sini mendakwa bekalan gula ke kedai mereka ‘terputus’ sejak seminggu lalu apabila pengilang tidak lagi menghantar bekalan tersebut ke kedai mereka.
Seorang peruncit, Maidin Abdul Hamid, 53, berkata, dia berdepan kesukaran sejak seminggu lalu kerana pengilang tidak menghantar bekalan gula ke kedai runcitnya.
”Sejak dahulu saya membeli gula terus daripada pengilang, namun, pengilang tidak menghantar bekalan ke kedai saya sejak minggu lalu.
”Sekarang, bekalan gula tiada di kedai runcit saya, pelanggan-pelanggan tetap seperti peniaga kuih-muih berdepan kesukaran kerana bekalan gula terputus,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi peruncit, Abdul Majid Ibrahim, 48, berkata, kedai runcitnya juga terputus bekalan gula sejak seminggu lalu.
”Selalunya pelanggan saya terdiri daripada peniaga-peniaga air minuman, sekarang bekalan gula memang tiada.Jadi, saya terpaksa membeli gula dari pasar raya berhampiran untuk menampung permintaan pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga kuih, NorAishah Fahmi, 35, berkata, dia terpaksa membeli gula di pasar raya yang jauh dari rumahnya kerana semua kedai runcit berhampiran rumahnya telah kehabisan stok gula.
”Sebelum ini memang mudah bagi peniaga kecil seperti saya mendapatkan bekalan gula kerana kedai-kedai runcit tidak pernah terputus bekalan gula.
”Tetapi sejak seminggu lalu, saya terpaksa ke pasar raya yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah hanya untuk membeli gula,” katanya.
Tambahnya, dia juga tidak dapat membeli gula dalam kuantiti yang banyak kerana pengurusan pasar raya mengehadkan pembelian gula kepada pelanggan iaitu setiap seorang pelanggan hanya boleh membeli lima peket gula sahaja.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, maalah ketiadaan bekalan gula di kedai-kedai runcit di sekitar negeri ini bukan berpunca daripada kekurangan pengeluaran gula dari pihak pengilang.
Sebaliknya, katanya, ia berpunca daripada perubahan sistem pembayaran antara pengilang dan peruncit.
Jelas beliau, pihaknya ada menerima aduan mengenai bekalan gula yang didakwa berkurangan di kedai-kedai runcit di sekitar negeri ini dan pegawai KPDN juga telah turun meninjau di lapangan dan mengenal pasti punca sebenar masalah tersebut.
”Dahulu peruncit dibenarkan berhutang dan kemudian boleh mengambil bekalan gula daripada pengilang, namun sekarang peruncit perlu membayar dahulu kepada pengilang baru bekalan gula akan dihantar kepada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.-UTUSAN