Perlombongan haram nadir bumi ditemukan di Kuala Pilah - Utusan Malaysia

Perlombongan haram nadir bumi ditemukan di Kuala Pilah

AMINUDDIN Harun (kiri) turut ke lokasi penemuan aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Satu aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi ditemukan di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah pada 16 Mei lalu melalui aduan yang diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, susulan penemuan tersebut, siasatan bersepadu oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan dan Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka dengan bantuan Polis Di Raja Malaysia telah dijalankan.

Jelas beliau, hasil siasatan telah mendapati wujud aktiviti perlombongan dengan menggunakan peralatan yang menjurus kepada perlombongan nadir bumi di atas dua lot tanah milik.

“Berdasarkan pemerhatian secara kasar, kaedah perlombongan yang dijalankan menggunakan proses larut resap in-situ (in-situ leaching) iaitu kaedah perlombongan yang tidak memerlukan pembukaan kawasan yang besar untuk kerja-kerja pengorekan dan pengalihan tanah tetapi banyak menggunakan proses kimia.

“Melalui proses tersebut, cecair bahan kimia iaitu amonium sulfat digunakan untuk melarut resap dan mengekstrak nadir bumi dari dalam tanah melalui lubang yang telah digerudi dan disalurkan ke kolam tadahan. Beberapa sampel telah diambil oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka untuk dibuat analisis makmal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SEBAHAGIAN lokasi aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi yang ditemukan di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah.

Menurut Aminuddin lagi, tindakan rampasan ke atas guni-guni yang mengandungi bahan disyaki berkaitan dengan aktiviti perlombongan nadir bumi serta jentera-jentera yang digunakan juga telah dibuat. 

“Kawasan terlibat juga telah disita untuk menghalang kerja-kerja perlombongan serta mengelakkan pencerobohan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan bersama-sama agensi terlibat. 

“Kerajaan megeri mengesyaki bahawa kegiatan perlombongan haram ini dibuat secara skala besar dan satu tindakan penguatkuasaan bersepadu akan diambil. Kerajaan Negeri memandang serius penemuan ini dan akan memastikan pihak terbabit untuk dikenakan tindakan yang setimpal berdasarkan undang-undang yang sedia ada,” tambahnya.

Beliau dalam pada itu menggesa semua pihak untuk menyalurkan maklumat dan aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan perlombongan haram bagi mengurangkan ketirisan hasil negeri.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya