Perkhidmatan Monorel Melaka akan dihidupkan semula

Perkhidmatan Monorel Melaka akan dihidupkan semula

MONOREL Melaka di Persimpangan Jalan Tun Ali berdekatan Kampung Morten, Melaka, kini terbiar sejak sektor pelancongan terjejas akibat Covid-19. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan mencari penyelesaian bagi menghidupkan semula perkhidmatan Monorel Melaka di Taman Rempah dekat sini, yang terbengkalai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, beliau difahamkan perkara tersebut dalam proses penyelesaian di mahkamah membabitkan syarikat yang menguruskan monorel berkenaan.

“Secara terperinci saya belum dapat lagi, namun ia adalah projek di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT). Kita sedang melihat daripada sudut perundangan bagaimana kita hendak menguruskannya dan kita akan pastikan wang rakyat tidak dibazirkan begitu sahaja.

“Apa juga hasil daripada proses penyelesaian ini mahupun di peringkat mahkamah, ia mesti menjurus kepada kebaikan, yang penting pihak kerajaan negeri mendapat keuntungan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Anugerah Projek, Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome Terbaik di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.

RAIS Yasin bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Anugerah Projek, Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome Terbaik di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sejak PKP pertama dilaksanakan, Monorel Melaka yang mula beroperasi pada 2010 dengan kos RM16.5 juta tidak lagi dilihat bergerak menyusuri Sungai Melaka dan Kampung Morten.

Tinjauan mendapati, dua gerabak itu kini tersadai di stesennya di Persimpangan Tun Ali, manakala kaunter menjual tiket ditutup tanpa sebarang notis ditampal.

Monorel itu mengalami situasi menyedihkan sejak beroperasi apabila sebanyak 22 kali perkhidmatannya terhenti sepanjang 2011, selain dua insiden mencemaskan melibatkan 20 penumpang terperangkap dalam gerabak pada 2010.

Tambah Rais, pada mesyuarat pasca Exco baru-baru ini, beliau telah meminta laporan penuh daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengenai Monorel Melaka dan jalan penyelesaiannya.

“Kita tidak boleh katakan kerajaan negeri akan mengambil alih monorel tersebut kerana daripada sudut kos ia perlu kajian terperinci dan selepas itu saya akan pantau dari masa ke semasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN