KUALA LUMPUR: Status penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion milik Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis masih belum mencapai kata muktamad.
Justeru, Mahkamah Tinggi Syarie di sini hari ini menetapkan 16 Ogos depan untuk sebutan untuk semua pihak mengemukakan hujahan sama ada mereka bersetuju dengan penyelesaian atau perlu dibicarakan dengan tuntutan tersebut.
Sebelum ini, balu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail memfailkan tuntutan harta sepencarian terhadap empat anaknya dan ibu mentuanya.
Empat anak Kalsom adalah Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla, manakala ibu mentua.
Aminah Abdullah, 89, dengan semuanya dinamakan sebagai defendan pertama hingga kelima.
Peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili Aminah berkata, ada beberapa perkara telah dibangkitkan oleh kedua-dua pihak dalam prosiding berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Abdul Shukor Abd. Hamid.
“Belum ada penyelesaian muktamad. Jadi pihak-pihak diberikan peluang berbincang sebelum 16 Ogos untuk penyelesaian.
“Ada perkara capai kata sepakat, ada perkara belum dapat penyelesaian kerana wujud perkara dipertikaikan oleh kedua-dua pihak.
“Maka semua pihak diminta mengemukakan hujahan (berhubung penyelesaian) sebelum tarikh sebutan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Semalam, media melaporkan status penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion difailkan Kalsom terhadap empat anaknya dan ibu mentuanya, akan diketahui hari ini.
Dalam kes itu, Kalsom, 67, memfailkan tuntutan harta sepencarian, termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi serta saham dalam beberapa syarikat tempatan.
Beliau memfailkan tuntutan harta sepencarian terhadap harta termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah dan beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak itu dan Aminah.
Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang daripada pernyataan tuntutan.
Pada 4 April 2015, Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita dikenali Aidana Baizieva.-UTUSAN