KOTA BHARU: Seorang penjawat awam kerugian RM852,000 selepas terpedaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis, timbalan pendakwa raya dan pegawai insurans.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berdasarkan laporan mangsa berusia 50-an itu menerima panggilan telefon daripada agen insurans pada penghujung Januari lalu dan didakwa membuat tuntutan kos pembedahan sebanyak tiga kali dalam tempoh masa yang singkat.
Menurutnya, selepas itu mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon daripada agen insurans yang sama pada Februari lalu dan memaklumkan dia telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram.
“Suspek mendakwa waran tangkap dan pembekukan akaun ke atas mangsa telah dikeluarkan sebelum panggilan berkenaan disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai Timbalan Pendakwa Raya.
“Mangsa telah diarahkan untuk membuka akaun Agro Bank serta memberikan nombor telefon yang diberikan oleh suspek semasa proses pembukaan akaun tersebut. Suspek juga meminta mangsa untuk memindahkan wang dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik mangsa ke dalam akaun yang baru dibuka,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, suspek juga telah mengarahkan mangsa untuk membuat pinjaman peribadi dengan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) sebanyak RM350,000.
Katanya, selepas pihak bank meluluskan permohonan mangsa sebanyak RM327,000, mangsa telah melakukan pemindahan ke dalam akaun Agro Bank miliknya seperti yang diarahkan oleh suspek.
“Suspek kemudiannya telah memberitahu mangsa bahawa pihak mahkamah memerlukan masa selama tiga bulan untuk memberikan keputusan rasmi kepada mangsa.
“Pada awal April lalu mangsa cuba untuk mendaftar perbankan dalam talian untuk akaun Agro Bank miliknya tetapi gagal kerana ada pihak yang telah mendaftar menggunakan nombor akaun mangsa,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, mangsa kemudiannya telah membuat semakan di bank berhampiran dan mendapati wang di dalam akaunnya hanya berbaki RM48.
“Menyedari telah ditipu, mangsa hadir ke balai polis untuk membuat laporan polis dan anggaran kerugian yang dialami mangsa adalah kira-kira RM 850,000.
“Sejurus laporan polis diterima, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”katanya.-UTUSAN