JERANTUT: Peniaga makanan di daerah ini mengeluh kerana sukar mendapatkan bekalan ikan patin yang semakin menyusut sehingga menjejaskan operasi perniagaan.
Difahamkan, rantaian masalah tersebut bermula daripada kesukaran penternak ikan dalam sangkar mendapatkan benih anak ikan di samping harga makanan dan kos pengurusan yang semakin meningkat turut mempengaruhi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga masakan ikan patin asam tempoyak Kampung Bukit Rang, Noraini Abdul Latiff berkata, kekurangan bekalan ikan itu bermula awal tahun ini, paling ketara ketika Ramadan lalu ekoran permintaan meningkat daripada pelanggan untuk juadah berbuka puasa.
“Dalam seminggu cuma dua atau tiga hari sahaja menu ikan patin tempoyak jual, itupun tidak banyak. Situasi ini menyebabkan ada pelanggan kecewa apabila tidak ada sajian ikan patin asam tempoyak,” katanya di sini semalam.
Jelas Noraini, sebelum ini, dia menempah lebih 15 ekor ikan patin untuk dimasak dan dijual di kedainya dalam tempoh lima hari.
“Tetapi sejak awal bulan ini cuma 10 ekor sahaja, kadang-kadang kurang, cuma mencukupi dua hari dijual untuk pelanggan makan tengah hari.
“Tahun sebelum ini, harga daripada penternak dibekalkan kepada saya kurang RM20, tetapi sejak tiga bulan lalu kadar harga sekilogram, iaitu RM22 malah di tempat lain sudah ada menjangkau harga RM24 dengan kadar berat yang sama,” katanya.
Beliau menambah, memandangkan harga ikan patin sangkar semakin mahal, dia menjual masakan itu RM10 sepotong walaupun ada kedai di bandar ini menjual dengan harga antara RM13 hingga RM15.
“Kesukaran bekalan ini juga menyebabkan menu pais ikan (campuran asam tempoyak), saya jual dengan harga seketul RM15 kepada pelanggan dengan mengambil kira harga tempoyak juga naik di pasaran.
“Sehingga kini, kebanyakan pelanggan berbelanja makan tengah hari tidak merungut dengan harga ikan patin yang saya tetapkan kerana masing-masing memahami bekalan ini semakin berkurangan,” katanya.
Ujarnya, walaupun berdepan kekurangan bekalan, dia tidak bercadang menutup kedai itu malah terus beroperasi setiap hari dengan memilih alternatif masakan menu lain termasuk daging dan ayam berasaskan campuran asam tempoyak termasuk ulam-ulaman. -UTUSAN