TUMPAT: Penduduk di tiga kampung di sini mendakwa menderita selepas terpaksa menghidu bau asap dari tapak pelupusan sampah seluas 1.6 hektar di Kampung Kok Bedollah yang terbakar sejak beberapa hari lalu.
Dakwa penduduk asap tbal tersebut telah menjejaskan rutin harian mereka sehingga terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah bagi mengelakkan asap daripada masuk.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tiga buah kampung yang terlibat ialah Kampung Jubakar Pantai, Kok Bedollah dan Sungai Tapang.
Seorang penduduk Kampung Jubakar Pantai, Pauzi Seman, 52, berkata, sejak kebakaran itu dia terpaksa memakai pelitup muka bagi mengelakkan sesak nafas setiap kali keluar dari rumah.
Menurutnya, pada masa sama dia terpaksa menutup pintu dan tingkap mengelakkan asap masuk ke dalam rumah.
“Sudah tiga hari kami terpaksa berdepan asap tebal dari kawasan tapak pelupusan sampah. Situasi ini menyebabkan hidup kami menjadi tidak selesa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bagi penduduk di Kampung Kok Bedollah, Hasnah Jusoh, 53, memberitahu, sejak kebakaran itu berlaku dia terpaksa menyewa inap desa bagi susulan tidak tahan menghidu bau asap tersebut.
Katanya, langkah itu terpaksa diambil bagi mengelakkan kesihatan cucunya yang merupakan bayi pramatang yang berusia dua bulan berdepan masalah kesihatan.
“Situasi akan bertambah teruk pada waktu malam kerana asapnya sangat tebal membuatkan kami tidak dapat bernafas dengan baik,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Mohd. Anuar Yacob berkata, tempat pelupusan sampah di Kok Bedollah terbakar sendiri akibat cuaca panas yang melampau sejak Khamis lepas.
Katanya, pihaknya sedang berusaha memadam kebakaran di tapak pelupusan tersebut dan pada masa sentias melakukan pemantauan bagi mengelakkan ia daripada terus merebak.
Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd. Adanan Hassan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 15 keluarga yang terjejas teruk kesan kebakaran di tapak pelupusan sampah itu.
“Saya sudah sediakan inap desa untuk mereka berpindah sepanjang tempoh kerja-kerja memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah itu dilakukan,” katanya. -UTUSAN