PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menjangkakan aktiviti pencerobohan nelayan asing diperairan negeri ini akan meningkat walaupun negara sedang berdepan cuaca panas ‘melampau’.
Pengarahnya Kepten Maritim Syed Nur Adli Syed Ab. Rahman berkata, jangkaan itu berpandukan kepada keadaan laut yang tenang ketika ini selepas peralihan Monsun Timur Laut menjadi daya penarik kepada kumpulan tersebut untuk melakukan kerja-kerja menangkap ikan di perairan negara.
Menurutnya, susulan itu Maritim Kelantan sudah menggerakan aset untuk melakukan rondaan lebih kerap bagi memastikan perairan negara berada pada tahap terbaik.
“Sepanjang musim panas ini Maritim Malaysia Kelantan menerima lima maklumat pencerobohan nelayan asing daripada rakan maritim termasuk pemancing tempatan dan pengurusan pelantar minyak.
“Fokus operasi di tengah laut tidak hanya membabitkan kes nelayan saing yang menangkap ikan dan gamat secara haram tetapi mencakupi kegiatan jenayah lain termasuk penyeludupan manusia, dadah dan barangan tanpa cukai,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini, hari ini.
Syed Nur Adli berkata, selain melaksanakan operasi Maritim Malaysia Kelantan turut menyampaikan maklumat berkait cuaca panas bagi memastikan nelayan tempatan sentiasa menjaga kesihatan diri masing-masing bagi mengelakkan kejadian strok haba ketika menjalankan kerja-kerja menangkap ikan.
Katanya, bekalan air bersih yang mencukupi, tempat perlindungan dari bahang panas matahari dan sentiasa bertopi (menutup kepala) ketika bekerja perlu menjadi amalan dalam kalangan nelayan dan pemancing ikan.
“Warga nelayan perlu menghubungi segera bilik gerakan Maritim Malaysia untuk mendapatkan bantuan pantas sekiranya berlaku sebarang kecemasan termasuk serangan strok haba yang mungkin diluar jangkaan semua pihak.
“Suhu di tengah laut dipercayai lebih panas berbanding suhu di daratan kerana pancaran matahari diterima secara terus,” ujarnya.-UTUSAN