PASIR PUTEH: Pemilik dan pekerja sebuah kedai makan berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh di sini bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas premis perniagaan itu terbakar hari ini.
Kejadian pukul 1.59 petang itu, melibatkan kedai menjual nasi berlauk dan gulai kawah.
Ketua BBP Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat.
Menurutnya, setiba di lokasi BBP Pasir Puteh mendapati kebakaran premis tersebut sudah hangus 90 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 4 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kejadian dan taksiran kerugian masih dalam siasatan forensik bomba.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bertugas berjaya menghalang api merebak daripada mereka ke bangunan berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.-UTUSAN