KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan wakil rakyat pembangkang supaya jangan menghentam semua yang dilaksanakan oleh kerajaan Pahang.
Baginda bertitah, apa yang baik yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan negeri perlu diberikan pujian namun jika kekurangan mereka boleh memberikan pandangan.
“Kepada pembangkang berilah idea-idea membina yang boleh membantu kerajaan. Hampir 66 tahun merdeka, lanskap politik kita kena berubah. 66 tahun sepatutnya sudah matang.
“Pembangkang janganlah menghentam semua yang kerajaan buat. Apa yang baik berilah pujian apa yang kurang berilah pandangan. Rakyat mahu politik yang stabil dan matang,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Sementara itu, Tengku Hassanal juga menasihatkan semua wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang untuk sama-sama membangunkan negeri ini.
“Saya harus berikan pujian kepada Kerajaan saya sekarang berada dalam landasan yang betul, hasil negeri meningkat ada pelbagai inisiatif yang baik untuk rakyat,” titah baginda. – UTUSAN