PETALING JAYA: Beberapa pemimpin parti Pas termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menyatakan sokongan serta menandatangani Proklamasi Orang Melayu.
Perkara itu didedahkan oleh Abu Bakar Yahya iaitu pembantu kepada Mahathir melalui hantaran ringkas di Facebooknya hari ini.
“Beberapa pimpinan tertinggi Pas yang diketuai Abdul Hadi Awang telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan Mahathir Mohamad,” katanya.
Hadir sama dalam pertemuan itu Naib presiden Pas, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Sementara itu, laman Facebook ‘Proklamasi Orang Melayu’ turut memuat naik mengenai pertemuan itu dan menyiarkan rakaman video respons ringkas Abdul Hadi.
Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan sokongan yang diberikan sebagai kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam.
“Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri, kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia, tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.
“Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baru ada kekuatan, kalau tidak tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas,” katanya.
Pada Mac lalu, Mahathir berniat menganjurkan himpunan ‘Proklamasi Orang Melayu’, bagaimanapun, ia telah ‘dihalang’ oleh pihak tertentu selepas empat kali pembatalan tempahan lokasi penganjurannya.
Beliau mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan dalang di sebalik pembatalan tempahan dewan berkenaan.
Bagaimanapun Mahathir tidak mendedahkan sebarang bukti menyatakan wujudnya campur tangan pihak kerajaan berkait perkara itu.
Abdul Hadi pula sebelum ini mencetus kontroversi selepas menyuarakan pandangan bahawa usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar ‘dalam masa terdekat’ sesuatu yang dibolehkan kerana negara mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.
Beliau juga mempertahan tidak melangkaui titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan sebuah kerajaan stabil dan mengekalkan kerajaan pimpinan Anwar sehingga habis penggal. -UTUSAN