PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengeluarkan laporan baharu berhubung perkembangan kemajuan pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) untuk dibentang di Parlimen setiap tiga bulan.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau akan mencadangkan perkara itu sebaik ahli jawatankuasanya dilantik dan laporan kemajuan dibentang kepada PAC nanti.
Menurut beliau, cadangan itu juga sebagai menyahut syor bekas pengerusi PAC, Wong Kah Woh yang mahu Kementerian Pertahanan membentang laporan kemajuan pembinaan kapal LCS setiap tiga bulan kepada PAC.
“PAC dijangka mengadakan prosiding pertama di limbungan Kapal Boustead Naval Shipyard (BNS) iaitu syarikat pembinaan kapal LCS dan seterusnya mengadakan lawatan kerja bagi melihat sendiri kemajuan pembinaan kapal tersebut.
PROSIDING
“Bagaimanapun, prosiding pertama akan dikenali sebagai Prosiding PAC berhubung Kemajuan Pembinaan Kapal LCS dalam Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum pembubaran Parlimen ke-14, PAC mendedahkan, tiada satu pun kapal LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat BNS secara rundingan terus.
Setakat Ogos 2022 menurut jadual asal, sepatutnya lima buah kapal LCS siap dan diserahkan kepada TLDM.
Susulan itu, PAC dalam laporan prosidingnya sebelum ini mengesyorkan supaya Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan berhubung projek LCS dinyahklasifikasi. Syor dilaksanakan pada Ogos 2022.
PAC turut mengesyor insiden perubahan pemilihan reka bentuk kapal LCS daripada SIGMA kepada GOWIND harus dijadikan pengajaran bagi perolehan pada masa hadapan.- UTUSAN