Orang Asli mahu adakan rundingan dengan kerajaan negeri - Utusan Malaysia

Orang Asli mahu adakan rundingan dengan kerajaan negeri

MASYARAKAT Orang Asli Johor mengadakan bantahan secara aman dan menghantar memorandum kepada kerajaan negeri berkaitan tanah rizab mereka di negeri ini, Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Masyarakat Orang Asli di negeri ini mendesak supaya satu rundingan diadakan segera antara pihaknya dengan kerajaan negeri berkaitan cadangan menjadikan tanah rizab kaum itu sebagai Tanah Kesultanan.

Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ), Dolah Tekoi berkata, rundingan itu bertujuan mendengar suara akar umbi dan mencari penyelesaian bersama secara menang-menang, sekali gus akan meningkatkan keyakinan Orang Asli terhadap kepimpinan kerajaan serta bukan menerusi kaedah berkonfrontasi.

“Bermula semalam, Pejabat Tanah dan Jabatan Hutan telah memacak papan notis amaran merah di setiap tanah Orang Asli Johor yang kononnya untuk menghalang pencerobohan hutan simpan oleh Orang Asli seperti yang dititah oleh Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) pada 16 Mac lalu.

“Ini bukanlah disebabkan tindakan bantahan Orang Asli, tetapi kerana kerajaan melihat sudah tiba masa mereka bertindak atas alasan keadaan sudah tidak terkawal dengan setiap kampung mempunyai tanah atau hutan simpan yang diceroboh Orang Asli. 

“Namun, JPOAJ melihat perkara ini harus dinilai dalam dua aspek, iaitu jika penebangan hutan itu benar keterlaluan dan tidak munasabah selain terdapat unsur eksploitasi, maka ia wajar diambil tindakan dan kedua, jika penebangan hutan dalam Wilayah Tanah Adat Orang Asli diguna secara teratur dan munasabah, maka ia harus dilepaskan dan diberi kebenaran untuk Orang Asli terus menggunakan tanah tersebut kerana memberi sinar kehidupan kepada generasi yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dolah berkata, kerajaan perlu meneliti semua permohonan lampau dibuat Orang Asli supaya tanah kampung mereka dirizab atau ditambah rizab kerana merupakan satu keperluan setempat. 

“Bukan semua penebangan hutan berniat untuk menceroboh, tetapi ada juga yang bersifat untuk memangkin kehidupan. Ada kampung yang tanah rizabnya sangat kecil dan tidak mampu menampung keperluan penduduk, maka mereka telah membuat permohonan rizab tambahan sejak puluhan tahun dahulu namun tidak diluluskan, malah ada yang langsung tidak dijawab kerajaan.

“Maka, perkara ini harus diambil perhatian serius oleh kerajaan sebelum membuat pengusiran. Hal ini bagi menunjukkan kerajaan mempunyai niat melindung hak dan kehidupan Orang Asli kerana tanah yang diwarta sebagai rizab Orang Asli sangat kecil berbanding keperluan sebenar di sesebuah kampung, maka langkah pengiktirafan tanah adat amatlah perlu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya