Orang Asli kecewa, dakwa tok batin diugut letak jawatan - Utusan Malaysia

Orang Asli kecewa, dakwa tok batin diugut letak jawatan

DOLAH TEKOI (tengah) menyaksikan penyerahan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri tentang cadangan mengklasifikasikan semula semua penempatan dan tanah rizab Orang Asli di sebagai Tanah Kesultanan di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri pada 8 Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang tidak memberi sebarang maklum balas hingga kini tentang memorandum bantahan Tanah Kesultanan yang diserahkan pada 8 Mei lalu.

Lebih dikesali, mereka mendakwa tindakan membantah cadangan mengklasifikasikan semula semua penempatan dan tanah rizab Orang Asli di negeri ini sebagai Tanah Kesultanan menyebabkan tok batin diugut akan dilucut jawatan.

Pengerusi JPOAJ, Dolah Tekoi berkata, pihak kerajaan negeri seharusnya memanggil pihak Orang Asli untuk duduk berbincang dan berunding bagi mendengar penjelasan dan cadangan supaya perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

“Namun, sejak memorandum bantahan dihantar, tiada sebarang maklum balas yang diterima dan ia mengecewakan kami. Malah, semua tok batin pula diugut akan dilucut jawatan jika ada yang membantah cadangan itu. Ini bukan tindakan yang berani  sebaiknya mahu memaksa Orang Asli kerana ada agenda tersembunyi,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Pada 8 Mei lalu, kira-kira 200 penduduk Orang Asli negeri ini berhimpun secara aman di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri di sini bagi membantah cadangan itu.

Dalam pada itu, Dolah memberitahu, meletakkan tanah rizab Orang Asli sebagai status Tanah Kesultanan bukan perkara baharu kerana telah dilaksanakan sebelum ini di beberapa kampung, antaranya Kampung Pucur, Kampung Peroh, Kampung Tanah Abang dan Kampung Pengkalan Tereh.

“Semua kampung yang terlibat ini telah terdapat masalah dari segi kawalan dan pemilikan yg bercanggah antara Orang Asli dan pemaju wakil Sultan,” katanya.

Jelasnya, sebelum ini, penduduk negeri ini turut membantah apabila Taman Negara Tanjung Piai di Kukup, Pontian mahu diletak sebagai Tanah Kesultanan.

“Kalau benar ia sangat bagus mengapa rakyat bantah? Sepatutnya ia semakin disokong kerana Sultan akan menjaga tanah tersebut. Tapi mengapa bila terkena kepada tanah Orang Asli, maka kami dipaksa untuk terima tanpa ada hak lagi untuk memberi pandangan dan cadangan.

“Kerajaan negeri langsung tidak mahu berbincang atau berunding dengan kami yang faham, tetapi Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) hanya berjumpa dengan kelompok yang boleh ditakut-takutkan,” tegasnya.

Katanya, jika benar ada bukti berlaku pencerobohan berleluasa oleh Orang Asli, maka kerajaan negeri harus mengambil tindakan terhadap pihak terbabit sahaja dan bukannya terhadap seluruh tanah Orang Asli.

“Jika ingin menghalang pencerobohan hutan maka pihak kerajaan haruslah mengiktiraf Wilayah Adat Orang Asli yang dikawal oleh kami secara sah mengikut peta komuniti yang kami sediakan. Ini kerana keluasan rizab Orang Asli yang diberi sekarang sangat kecil dan tidak memadai, maka ia memang penyumbang ke arah penebangan hutan yg berleluasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya