KUALA PILAH: Penduduk di Kampung Sikai, di sini lega apabila aktiviti dicurigai yang dilihat bermula sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu pada sekitar tahun 2019 rupa-rupanya aktiviti perlombongan haram nadir bumi.
Salah seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Misran, 40, berkata, aktiviti berkenaan tidak terlalu mengganggu, namun, penduduk kerap mendengar bunyi mesin pada waktu malam.
Bagaimanapun, menurutnya, penduduk tidak mengetahui apakah aktiviti yang dilakukan di lokasi berkenaan berikutan berada di tanah milik individu serta terdapat begitu banyak anjing di kawasan itu sebelum ini.
“Apabila tahu tempat ini diserbu, kami lega dan berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana kami kini bimbang dengan keadaan persekitaran kampung sama ada terdedah dengan pencemaran air atau udara yang mampu memberi kesan kepada kesihatan kami,” katanya ketika ditemui di sini.
Kelmarin, kerajaan Negeri Sembilan mendedahkan satu aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi ditemukan di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah pada 16 Mei lalu melalui aduan yang diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, susulan penemuan tersebut, siasatan bersepadu oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan dan Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka dengan bantuan Polis Di Raja Malaysia telah dijalankan.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati wujud aktiviti perlombongan dengan menggunakan peralatan yang menjurus kepada perlombongan nadir bumi di atas dua lot tanah milik.
Sementara itu, tinjauan ke lokasi semalam mendapati terdapat beberapa lokasi dipasang pita pelekat Pentadbiran Tanah Negeri Sembilan Darul Khusus serta larangan masuk ke kawasan berkenaan susulan siasatan yang sedang dijalankan.
Satu lokasi yang dipasang pita berwarna kuning itu terletak di tepi jalan utama antara Senaling dan Seri Menanti manakala dua lagi lokasi terdapat dalam kebun kelapa sawit berjarak kira-kira 500 meter dari jalan utama.
Sementara itu, menurut seorang Datuk Adat, Jamaludin Harun, 54, berkata, dia menyatakan sepanjang kewujudan kampung itu lebih 90 tahun lalu, tidak pernah lagi terdapat aktiviti melombong hasil bumi yang dijalankan kerana kawasan perkampungan berkenaan lebih kepada kawasan pertanian.
“Alhamdulillah, kami akhirnya tahu aktiviti yang dijalankan di sini dan berterima kasih kepada individu yang melaporkan kepada pihak berkuasa. Aktiviti ini tidak mengeluarkan sebarang bau atau sebagainya, namun, apa yang kita bimbangkan dari aktiviti ini akan memberi kesan kepada aktiviti pertanian di kampung ini serta ternakan di kolam.
“Kami harap agar pihak bertanggungjawab dapat menyiasat perkara ini sebaiknya dan memaklumkan sekiranya terdapat pencemaran bagi tindakan berjaga-jaga penduduk,” katanya.-UTUSAN.