MBKT capai sasaran sifar aduan sampah

MBKT capai sasaran sifar aduan sampah

ALIAS Razak (tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir pada majlis apresiasi sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada petugas kebersihan MBKT di Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berjaya mencapai sasaran sifar aduan berhubung pengurusan sampah sepanjang sambutan perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr. Alias Razak berkata, kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan beberapa strategi yang  diatur MBKT sepanjang tempoh seminggu sebelum dan selepas perayaan.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut, MBKT tidak menerima aduan daripada mana-mana pihak sama ada aduan rasmi atau melalui media sosial berhubung longgokan sampah seperti yang sering berlaku setiap kali perayaan pada tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, situasi itu adalah luar biasa memandangkan masalah sampah sering menjadi rungutan penduduk setiap kali musim perayaan kerana peningkatannya adalah sekali ganda berbanding hari-hari biasa.

“Saya berpuas hati dengan pengurusan sampah yang sangat baik hasil kerja keras MBKT terutama 196 petugas dalam jawatankuasa khas pembersihan sampah yang telah bertungkus lumus bekerja termasuk pada awal pagi 1 Syawal yang lalu.

“Komitmen tinggi yang mereka berikan, bekerja tanpa mengenal erti penat lelah, siang atau malam sangat kita hargai kerana mereka adalah ‘hero’ sebenar keceriaan dan kebersihan hingga membolehkan sasaran kita tercapai.

“Bagi menghargai sumbangan mereka, kerajaan negeri bersetuju memberikan bonus sebanyak RM300 untuk kesemua 196 pekerja ini dan berharap kecemerlangan ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis apresiasi sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada petugas kebersihan MBKT di sini, semalam.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, kutipan sampah meningkat kepada 406 metrik tan pada 20 April diikuti 443 metrik tan pada 21 April dan kemuncaknya pada hari raya pertama (22 April) sebanyak 480 metrik tan.

Menurutnya, kutipan sampah pada hari-hari biasa adalah antara 260 hingga 280 metrik tan dan meningkat kepada purata 350 metrik tan setiap hari sepanjang Ramadan.

“Pengurusan sampah yang efisien adalah antara cabaran utama MBKT kerana daerah ini adalah cerminan utama tahap kebersihan di seluruh Terengganu,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya