KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli mendedahkah ada dalam kalangan pelabur yang cuba menawarkan rasuah untuk mendapat kelulusan melabur di negeri ini.
Namun, tegasnya, kerajaan negeri sama sekali tidak akan menerima tindakan pelabur seperti itu bagi melaksanakan sebarang projek di negeri ini.
Katanya, cara tersebut sangat tidak betul sebaliknya kerajaan negeri akan terus mencari sumber yang halal dalam membangunkan negeri ini.
“Boleh saja, saya berjumpa dengan pelabur-pelabur itu, hang (kami) boleh melabur di Perlis ini, tapi 10 peratus kena bagi dekat aku (saya). Kita tidak mahu cara seperti itu.
“Saya pun banyak pelabur-pelabur mai (datang) dia kata jangan bimbang YAB (Menteri Besar) bagi sahaja dekat saya, saya (pelabur) akan bagi sekian-sekian. Jadi saya tidak mahulah cara-cara seperti itu.
“Ada sesetengah itu, dia (pelabur) mai tinggal dekat anak saya di rumah, saya hambat (halau) dia balik, ambil balik. Yang ini, saya kata cara tidak betul,” katanya di sini semalam.
Kata Mohd. Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, kerajaan negeri mencari sumber yang halal agar memperoleh keberkatan.
“Kita cari sumber yang halal, mudah-mudahan rezeki yang kita dapat walaupun sedikit, dia ada keberkatan. Insya-Allah cukup,” katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut, kata Mohd. Shukri kepada Utusan Malaysia, pelabur-pelabur perlu bersaing secara sihat tidak perlu untuk menawarkan sesuatu.
“Buat atau datang dengan cara betul untuk melabur di negeri ini.
“Alhamdulilah, masih ramai pelabur yang datang ke negeri ini dengan cara yang betul. Kita pandang serius perkara ini dan tidak akan membenarkan ia terjadi,” katanya. -UTUSAN