Masih ada majikan ingkar Perintah Gaji Minimum

Masih ada majikan ingkar Perintah Gaji Minimum

SETIAP pekerja berhak mendapat sekurang-kurangnya gaji minimum RM1,500 seperti yang digariskan kerajaan– UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat majikan yang masih culas untuk menggajikan pekerja-pekerja mengikut pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei tahun lalu. 

Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, sehubungan itu, kerajaan perlu lebih agresif mengenal pasti majikan-majikan berkenaan supaya kebajikan golongan pekerja terus terjamin. 

Menurut Muzaffar Syah, terdapat majikan cuba mengurangkan kos penggajian dengan memotong elaun sedia ada sekali gus menyebabkan jumlah gaji yang diterima pekerja tidak berubah berbanding dahulu. 

“Pihak kerajaan perlu melakukan proses pemantauan yang lebih ketat dan serius terhadap proses PGM dalam negara kita. Ini adalah amat penting bagi memastikan tiada majikan yang masih engkar untuk melaksanakan PGM berkenaan.

“Terdapat pelbagai isu yang melibatkan pelaksanaan PGM dalam negara kita di mana ada sesetengah pekerja yang mengadu majikan mereka masih belum sudi untuk melaksanakan PGM serta aduan daripada pekerja berhubung tindakan sesetengah pihak majikan yang memotong elaun dan pengurangan faedah sedia ada bagi mengurangkan kos kenaikan gaji minimum baharu. 

“Kerajaan juga perlu memantau supaya tiada pekerja yang dinafikan hak mereka untuk menerima gaji minimum selaras dengan pengumuman yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan terdahulu pada tahun 2022 yang lalu,” katanya.

Kata Muzaffar Syah, semua isu berbangkit ini perlu dipandang serius dan disiasat dengan segera bagi mengelakkan timbulnya masalah lain.

“Jika tidak dipantau, ini akan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai khususnya  pekerja yang sedang menghadapi masalah kewangan akibat daripada kenaikan kos sara hidup yang berlaku pada ketika ini,” jelasnya. 

 Pada tahun 2022, pihak kerajaan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei di seluruh negara dengan penangguhan diberikan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja ditangguhkan daripada 1 Januari kepada 1 Julai 2023. 

Tambah Muzaffar Syah, majikan perlu memandang serius terhadap pelaksanaan PGM dalam negara kita bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang. 

“Jika tidak ikut, tindakan keras mengikut undang-undang sedia ada boleh dikenakan kepada mereka. Mana-mana pekerja yang berasa diri mereka teraniaya serta tidak mendapat hak yang sepatutnya selaras dengan pengumuman PGM ini perlu dapatkan bantuan daripada mana-mana pihak yang berkaitan.

“Buat juga aduan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja dan Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan segera,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya